fbpx

Alihkan sahaja projek KLIP ke kawasan lain – MNS

AHMAD ISMAIL menunjukkan kawasan habitat semula jadi di Sungai Timun dekat sini yang boleh terjejas sekiranya projek KLIP dilaksanakan di Kuala Linggi, Melaka.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berharap projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion di Kuala Linggi, Melaka perlu dialihkan ke kawasan lain.

Ia supaya pembinaan projek berkenaan kelak tidak menganggu kawasan semula jadi dan habitat haiwan yang terdapat di kawasan Sungai Linggi yang berada di kawasan Negeri Sembilan.

Presiden MNS, Dr. Ahmad Ismail berkata, pihaknya melihat isu pembinaan KLIP daripada pelbagai sudut terutama impak kepada habitat semula jadi di kawasan berkenaan dan lokasi pelancongan di sekitar Sungai Linggi.

“Kami sangat prihatin dengan apa sahaja berkaitan alam semulajadi, kami tahu Sungai Linggi ini mempunyai kepelbagaian ekosistem dan habitat termasuk habitat buaya, udang galah, kelip-kelip yang turut dilihat akan menjejaskan pendapatan penduduk di sini

“Kita lihat juga, terdapat banyak chalet yang mempunyai pemandangan pantai yang cantik, projek ini tiada panduan dan jelas memberi kesan negatif kenapa perlu pelabuhan tersebut? Carilah lokasi lain yang tidak menganggu alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi penerangan kepada pihak nelayan berkaitan projek KLIP di Jeti Pangkalan Nelayan Sungai Timun, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri hanya akan membantah pembinaan KLIP sekiranya ia didapati tidak mematuhi laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) Jabatan Alam Sekitar.

Tegas beliau, pihaknya tidak mahu projek berkenaan memberi kesan kepada Negeri Sembilan termasuk isu hakisan dan masalah kepada nelayan.

Susulan kenyataan tersebut, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberitahu, kerajaan negeri juga sedia untuk membatalkan projek itu sekiranya tidak mematuhi syarat pembangunan khususnya EIA.

Difahamkan, projek pembinaan KLIP akan dimulakan pada suku pertama tahun ini dan akan mengambil masa lima hingga lapan tahun bagi menambak laut seluas kira-kira 248 hektar.

Ia kemudian akan dimajukan dengan pelbagai kemudahan berkaitan pelabuhan yang memberikan perkhidmatan kepada kapal antarabangsa termasuk akan menempatkan tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam berkata, pihaknya terkilan kerana tiada sebarang perjumpaan atau penerangan daripada mana-mana pihak sebelum ini ekpada persatuan nelayan berkaitan impak daripada projek berkenaan.

“Projek itu dilaksanakan di negeri Melaka namun bersempadan dengan Negeri Sembilan, lokasinya agak berdekatan dan turut menjejaskan pendapatan nelayan di sini. Kami minta projek ini dialihkan dan jangan dilakukan di sempadan negeri ini, ia boleh menjejaskan punca rezeki nelayan.

“Jika tidak boleh dialihkan, kami berharap ada pampasan yang dibayar kepada nelayan ini kerana segala kesulitan yang timbul akan menjejaskan pendapatan nelayan. Kami juga telah berjumpa pihak pemaju projek sebanyak empat kali namun mereka tidak memberi respon tentang pampasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE