Alasan tangguh laksana Undi18 disifatkan tak munasabah - Utusan Malaysia

Alasan tangguh laksana Undi18 disifatkan tak munasabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan undi 18 (Undi18) dan pendaftaran automatik amat mengecewakan serta tidak boleh diterima sama sekali.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan perancangan dan persiapan SPR juga adalah sesuatu yang tidak munasabah memandangkan PKP telah dilaksanakan lebih setahun lalu.

Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada November tahun lalu juga masih mengekalkan sasaran Julai ini bagi pelaksanaannya.

Namun katanya, tidak sampai lima bulan selepas jawapan di Dewan Rakyat itu dikeluarkan, SPR secara tidak semena-mena mengumumkan penangguhan pelaksanaannya kepada lebih satu tahun iaitu September 2022 berbanding Julai 2021.

“Kenyataan terbaharu SPR ini jelas sekali bercanggah dengan kenyataan Pengerusi SPR pada 7 Jun tahun lalu yang menyatakan persiapan bagi pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik termasuk pindaan kepada undang-undang serta peraturan pilihan raya sedia ada serta penyediaan sistem dan infrastruktur akan diselesaikan selewat-lewatnya Julai ini.

“Harus diingatkan, kenyataan SPR pada tahun lalu hanyalah ulangan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang Datuk V.K Liew pada Oktober 2019 yang menetapkan sasaran yang sama iaitu Julai 2021 sebagai permulaan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Khairy berkata, kenyataan SPR berkenaan gerak kerja bagi tujuan libat urus bersama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga menimbulkan tanda tanya dan perlu memberikan penjelasan lanjut berkenaan program tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pakatan Harapan (PH) mahu mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada minggu depan berhubung keputusan badan bebas itu menangguhkan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18.

Menurutnya, surat permohonan bagi mengatur perjumpaan itu sudah dihantar melalui Majlis Setiausaha PH kepada pihak SPR hari ini.

“Saya tidak nampak apa yang susah sangat untuk melaksanakannya kalau ada keinginan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Terengganu 2021 semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pula berpandangan, anak muda berusia 18 tahun seharusnya diberikan hak untuk memilih dan membina masa depan bersama.

“SPR dan semua anggota Parlimen harus menghormati dan melaksanakan komitmen perundangan yang dimeterai pada 2019 dan memastikan anak muda 18 tahun layak mengundi tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN