SEREMBAN: Sebanyak 2,400 bungkus bubur lambuk diedarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan asnaf, pusat tahfiz, rumah anak yatim di negeri ini.
Program tersebut melibatkan gabungan 23 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini sempena sambutan Nisfu Syaaban esok.
Penyelaras program berkenaan, Aslam Nawaddin berkata, kesemua NGO tersebut bergabung tenaga menyiapkan 18 periuk bubur lambuk yang bermula pagi tadi.
“Program ini diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara NGO di negeri ini. Kali pertama kami bergabung adalah semasa bencana banjir tahun lalu dan ini merupakan program kedua.
“Apa yang menarik, kami berbincang mengenai program bubur lambuk ini lapan hari sahaja dan terus sepakat mengadakan program ini. Sudah hampir 10 tahun kami tidak bergabung bersama-sama NGO memasak bubur lambuk ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Terbuka Taman Dusun Nyior, dekat sini hari ini.
Menurut Aslam, program berkenaan melibatkan kira-kira 100 orang sukarelawan NGO terbabit dan setiap periuk boleh menyediakan kira-kira 300 bungkus bubur lambuk.
“Antara NGO yang terlibat adalah Pusat Gelandangan Dapur Kausar, Amal Bakti, Baitul Khadeeja, Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina, Radiatul Muhibbah dan Sahabat.
“Setiap NGO menyumbang sebanyak RM500 dan kami menyediakan pelbagai barang masakan seperti 200 kilogram beras, 100 kilogram daging dan 100 kilogram ayam serta bahan masak lain untuk program ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










