Vaksin Covid-19 tiba di Malaysia 26 Februari ini - Utusan Malaysia

Vaksin Covid-19 tiba di Malaysia 26 Februari ini

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Malaysia akan menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 pada 26 Februari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, proses pengagihan vaksin itu ke negeri-negeri bagi Program Imunisasi Kebangsaan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu selepas bekalan tersebut tiba.

“Jangkaan kita pada 26 Februari sampai di pintu masuk antarabangsa (negara) dan daripada situ kita akan mengagihkan mungkin dalam tempoh seminggu dua,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Lawatan Kerja Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 ke Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata, sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech BNT1262b akan dibekalkan pada penghujung bulan ini.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, sehingga kini lebih 3,000 permohonan diterima untuk menyertai Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19 sekali gus melepasi sasaran ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan akan menggunakan mekanisme terbaik bagi memilih individu berkelayakan untuk menjayakan kajian melibatkan hanya 3,000 sukarelawan.

“Jadi kita akan buat pemilihan dan setakat ini sudah 1,000 orang mendapat suntikan dalam kajian tersebut,” katanya.

Sementara itu, menurut Noor Hisham, situasi Covid-19 di Terengganu masih terkawal walaupun kadar kebolehjangkitan (Rt) harian yang direkodkan negeri ini tinggi sebelum ini.

Katanya, pihak kementerian akan terus mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam di negeri ini di samping perkhidmatan di hospital.

“Seramai 48 staf kita di Terengganu dijangkiti Covid-19 dan kini kita dalam proses pembersihan serta nyah kuman, dengan kita akan terus menyokong dan memastikan petugas kita bersemangat semula untuk berkhidmat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya