Tidak perlu nasihat PM panggil sidang Parlimen - Pejuang - Utusan Malaysia

Tidak perlu nasihat PM panggil sidang Parlimen – Pejuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berpendirian bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak memerlukan nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memanggil sidang Parlimen.

Ini kerana, Ahli Parlimen Pejuang berpendapat kuasa untuk memanggil sidang Parlimen kini terletak di bawah Agong sepanjang tempoh darurat.

“Tambahan pula, keabsahan Perdana Menteri dipertikaikan dan dengan itu beliau tidak lagi layak untuk menasihatkan Agong. Ini telah kami timbulkan semasa Perdana Menteri menasihatkan Agong untuk menitahkan proklamasi darurat,” katanya dalam kenyataan bersama.

Pada masa sama, Pejuang menjunjung kasih titah Agong mengenai Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda.

“Titah Baginda ini jelas meraikan demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan. Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada alasan lagi untuk tidak memastikan sidang Parlimen diadakan mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Namun, Pejuang berharap persidangan Parlimen kali ini dapat dijalankan sepenuhnya dan bukannya persidangan sehari seperti yang dilakukan pada 18 Mei tahun lalu.

“Persidangan ini perlu mengikut takwim asal tanpa memendekkan sesi persidangan. Ini amat penting memandangkan bukan sahaja keabsahan Perdana Menteri dipertikai, malah masalah ekonomi, pandemik Covid-19 dan pentadbiran yang kucar-kacir telah mengakibatkan kesusahan dan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Persidangan Parlimen amat diperlukan dalam keadaan sekarang bagi membahaskan isu Covid-19 dan vaksinasi, pendidikan anak-anak serta langkah untuk mengelakkan pilihan raya diadakan dalam tempoh pandemik ini,” katanya.

Kenyataan Pejuang itu dibuat secara bersama oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md. Salleh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×