Tak pernah lupa hias rumah dengan ‘Chun Lian’ - Utusan Malaysia

Tak pernah lupa hias rumah dengan ‘Chun Lian’

LIEW Koon Yan melekatkan tulisan kaligrafi ‘Chun Lian’ di pintu rumahnya di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Ketika seri sambutan Tahun Baru Cina pudar gara-gara pandemik Covid-19, seorang guru di Bandar Utama di sini tetap setia pada tradisi menghiasi rumahnya dengan seni tulisan kaligrafi ‘Chun Lian’.

Setiap tahun, sudah menjadi rutin guru matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 2, Liew Koon Yan, 52, untuk melekatkan tulisan di dinding rumah bagi menghidupkan suasana sambutan Tahun Baru Cina.

Menurut Koon Yan, kebiasaannya tulisan kaligrafi tersebut akan digantung di bahagian kiri dan kanan pintu rumah.

“Tulisan ‘Chun Lian’ memberi maksud baik yang melambangkan permulaan semangat baharu, kemakmuran dan keuntungan yang akan diperoleh dalam hidup.

“Kertas kaligrafi itu mestilah berwarna merah yang melambangkan kemeriahan dan membawa ‘ong’ atau tuah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Koon Yan berkata, sambutan tahun lembu kali ini disambut sederhana oleh ahli keluarganya susulan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) yang belum tamat.

Ujar guru yang bertugas selama 21 tahun di daerah ini, dia akan menyambut perayaan bersama isteri, Chong Won Mei, 50, dan seorang anak perempuannya, Liew Yu Xin, 11.

“Sebelum ini, saya tidak akan melepaskan peluang pulang beraya di kampung halaman di Ipoh, Perak.

“Namun, kali ini kami hanya menyambut perayaan bersama keluarga dan jiran terdekat sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×