PASIR MAS: Sejak sesi persekolahan bermula bulan lalu, Nor Hafizah Mizani, 12, dari Kampung Bechah, Tendong, di sini sentiasa ternanti-nanti kepulangan bapanya dari tempat kerja.
Ini kerana murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib II itu hanya berpeluang melihat tugasan diberikan guru menerusi telefon pintar milik bapanya yang mencari rezeki sebagai buruh.
Difahamkan, Nor Hafizah sebelum ini bergantung telefon pintar milik ibu untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan pandemik Covid-19.
Namun ibunya Nor Suhaila Jaafar, 37, terpaksa bermalam di hospital untuk menjaga abang sulungnya yang menghidap penyakit barah tulang dan dia kini bergantung kepada telefon pintar milik bapanya.
Susulan itu, Nor Hafizah tercicir daripada PdPR selama kira-kira dua minggu selain hanya mampu melihat kerja rumah diberikan guru pada waktu malam iaitu selepas bapanya selesai bekerja.
“Segala tugasan itu saya akan salin dan siapkan sebelum dihantar semula kepada guru untuk disemak,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini baru-baru ini.
Terdahulu, Nor Hafizah menerima sumbangan telefon pintar disampaikan oleh Guru Besar SK Othman Talib II, Zukri Suzita Yaso bagi membolehkan dia mengikuti PdPR dan tidak lagi perlu menunggu bapanya pulang dari kerja untuk belajar.
Menurut Zukri Suzita, sumbangan telefon pintar itu merupakan inisiatif warga pendidik di SK Othman Talib II menerusi program Gajet Prihatin bagi membantu murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah.
“Program ini tercetus selepas melihat ramai murid berpotensi gagal mengikuti PdPR kerana tiada telefon pintar. Jadi para guru sepakat menghulurkan sumbangan serta mencari dana tambahan,” katanya.- UTUSAN










