Sahruddin minta Nur Jazlan fokus bantu rakyat - Utusan Malaysia

Sahruddin minta Nur Jazlan fokus bantu rakyat

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed digesa memberi fokus terhadap tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam membantu rakyat di kawasan beliau.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besar berkata, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai sejak dari awal pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa ‘menyerang’ Bersatu khususnya di Johor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Sahruddin berkata, apa yang lebih penting adalah bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu membantu Menteri Besar dan kerajaan negeri menjaga rakyat bagi kawasan DUN yang telah diamanahkan berbanding ‘menyerang’ Bersatu secara terus menerus.

“Sebagai ahli politik berpengalaman yang telah lama berkecimpung dalam pentas siasah tanah air, saya percaya beliau mempunyai justifikasi tersendiri untuk lantang mengeluarkan kenyataani,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kelmarin, Nur Jazlan yang juga bekas Ahli Parlimen Pulai dilaporkan berkata, UMNO Johor tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali menyerahkan kesemua kerusi yang ditandingi mereka kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kata beliau, Bersatu usah bermimpi UMNO akan memberi laluan kepada mereka, melainkan kerusi Parlimen Pagoh yang disandang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, Dr. Sahruddin berkata, permuafakatan yang sedia terbentuk antara Bersatu dan UMNO dalam membentuk kerajaan negeri sejak Mac tahun lalu perlu terus dipertahankan demi kemaslahatan rakyat.

Dalam pada itu katanya, hubungan UMNO dengan Bersatu sepatutnya seperti hubungan abang dan adik ketika ini yang perlu berbincang sekiranya timbul sebarang isu.

“Jika ada masalah ada titik penyelesaian yang kita perlu cari, kita di pihak Bersatu yakin apa sahaja keputusan menang-menang untuk Bersatu, UMNO dan paling penting rakyat akan diterima baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN