PM tinjau kesiapsiagaan fasiliti Pusat Simpanan Vaksin - Utusan Malaysia

PM tinjau kesiapsiagaan fasiliti Pusat Simpanan Vaksin

MUHYIDDIN Yassin meninjau PSV di IKN, Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan ke Institut Kanser Negara (IKN), di sini petang ini bagi meninjau kesiapsiagaan fasiliti tersebut untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama yang akan bermula Rabu ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, IKN merupakan salah satu daripada 54 Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan berperanan membekalkan vaksin secara berjadual kepada empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Putrajaya yang telah dikenal pasti.

Katanya, vaksin yang diterima IKN adalah untuk kegunaan dalam fasa pertama pelaksanaan program imunisasi itu termasuklah anggota kesihatan dan bukan kesihatan melibatkan seramai 7,020 orang.

“Pada lawatan tersebut, Perdana Menteri diberikan taklimat berkenaan proses penyimpanan dan pengurusan vaksin Covid-19 di PSV serta proses pemberian vaksin yang akan dilaksanakan.

“Beliau turut dibawa meninjau persiapan terakhir di PPV sebelum proses pemberian vaksin bermula Rabu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadir sama pada lawatan itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Kenyataan itu memberitahu, Vaksin Comirnaty® keluaran Pfizer-BioNTech, adalah sensitif terhadap suhu dan perlu disimpan dalam Penyejuk Beku Bersuhu Ultra-Rendah (Ultra Low Temperature Freezer – ULTF) dengan suhu -90°C sehingga -60°C bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum.

Jelasnya, jangka hayat vaksin dalam penyejuk beku ini adalah enam bulan daripada tarikh pengilangan.

Bagi tujuan pembekalan ke 605 PPV seluruh negara, katanya, vaksin akan dipindahkan ke kotak sejuk (cold box) dengan suhu simpanan 2°C hingga 8°C dan dimasukkan ke dalam peti sejuk muatan atas, dengan suhu penyimpanan yang sama setelah tiba di PPV.

Vaksin Comirnaty® yang disimpan pada suhu 2°C hingga 8°C mempunyai jangka hayat sehingga lima hari atau bersamaan dengan 120 jam.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa yang dimulakan dengan kumpulan barisan hadapan dan akan diikuti dengan Kumpulan berisiko tinggi serta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari tahun depan untuk mengurangkan penularan virus Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.