Penawaran pengajian dibuat bagi elak lambakan guru - Utusan Malaysia

Penawaran pengajian dibuat bagi elak lambakan guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengambilan pelajar bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bidang pengkhususan Bahasa Tamil akan dilaksanakan bagi kemasukan September depan.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan di sini hari ini, ia dilakukan menerusi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi mengisi keperluan di sekolah rendah menjelang 2026.

“Kementerian telah menerima pertanyaan daripada pelbagai pihak berhubung isu biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) untuk subjek bahasa ini tidak ditawarkan tahun ini.

“Untuk makluman, biasiswa tersebut tidak ditawarkan kerana terdapat lebihan guru dalam mata pelajaran Bahasa Tamil di peringkat sekolah menengah,” jelas kenyataan berkenaan.

Justeru, pihak kementerian itu sentiasa memastikan penawaran tempat untuk sebarang PISMP dibuat supaya bekalan guru memenuhi unjuran bidang keperluan mata pelajaran.

Langkah tersebut ujar kenyataan itu, perlu dilaksanakan bagi mengelak daripada berlaku lambakan guru PISMP dan masalah ketidakpadanan opsyen untuk mata pelajaran tertentu.

“Penawaran biasiswa ISMP turut dibuat berdasarkan perancangan dan unjuran keperluan opsyen guru bagi sekolah menengah dari tahun ke tahun,” tambah kenyataan tersebut lagi.

Sehubungan itu jelasnya, pada tahun ini kementerian telah mengunjurkan hanya 28 mata pelajaran yang ada keperluan di sekolah menengah dan perlu diisi menjelang tahun 2025.

Subjek tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Iban, Bahasa Kadazan/Dusun, Sejarah, Geografi, Tahfiz, Dini, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Juga Pendidikan Khas, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Kaunseling, Kesetiausahaan Pentadbiran, Reka Bentuk dan Teknologi, Kejuruteraan Awam serta Teknologi Automotif.

Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara, Teknologi Pemesinan Industri, Teknologi Pemprosesan Kayu dan Kemasan serta Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam.

Turut ditawarkan biasiswa ISMP di bawah PISMP tersebut ialah Pendidikan Seni Visual, Seni Kulinari, Fesyen dan Pembuatan Pakaian, Kosmetologi, Pelancongan serta Pemasaran.

“Semua akan dibuka secara dalam talian selama tempoh sebulan bermula 1 Mac depan untuk pelajar cemerlang di universiti awam yang berada di tahun pertama atau kedua,” katanya.

Mereka yang mengikuti PISMP dalam bidang tertentu itu akan kemudian dilantik sebagai Pengawai Perkhidmatan Pendidikan dan ditempatkan di pelbagai sekolah menengah.

Maklumat lanjut dan permohonan tawaran biasiswa ISMP itu boleh diikuti menerusi pautan daripada laman sesawang rasmi iaitu https://epenawaran.moe.gov.my/ijazah1/login.cfm. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya