KANGAR: Pemilihan UMNO perlu diadakan tahun ini melainkan jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membenarkan penangguhan proses tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tahun ini adalah tahun yang dijadualkan perlu diadakan pemilihan UMNO selepas tempoh tiga tahun.
Bagaimanapun, menurut beliau, Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang ditangguhkan sebelum ini perlu diadakan terlebih dahulu iaitu dijangka pada Mac sebelum mengadakan pemilihan selepas itu.
“Tahun ini memang tahun pemilihan dan apa pun perlu diadakan Perhimpunan Agung UMNO 2020 terlebih dahulu. Selepas itu, pemilihan boleh diadakan tidak tahulah sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.
“Jika tangguh, ia bergantung kepada keputusan ROS. Apa yang jelas, tahun ini adalah tahun diadakan pemilihan parti,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina secara pandu lalu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Khoon Aik di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, UMNO buat pertama kali dalam sejarah akan mengadakan dua perhimpunan agung pada tahun ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ia melibatkan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang perlu diadakan sebelum Jun, diikuti Perhimpunan Agung 2021 seperti diputuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kali terakhir pemilihan UMNO diadakan pada Jun 2018 iaitu pemilihan dalam suasana UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas buat kali pertama pada pilihan raya umum selepas 60 tahun.
Dalam pemilihan tersebut, Ahmad Zahid diberikan kepercayaan memimpin parti bagi tempoh 2018-2021.
Ahmad Zahid ketika itu menewaskan Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.
Sementara itu, Shahidan menyifatkan Ahmad Zahid sebagai berjiwa besar selepas memberi jaminan semua jawatan dalam parti termasuk presiden terbuka untuk ditandingi pada pemilihan itu. – UTUSAN











