Guru pakai kostum tarik perhatian murid belajar dalam PdPR

PdPR: Guru pakai kostum tarik perhatian murid

KU Liana Farhany Ku Abdul Halim membawa pelbagai watak seperti rangka manusia, doktor gigi, mikroogranisma ketika mengajar mata pelajaran Sains secara online bagi menarik minat murid-muridnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Repoh Permai, Kangar, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mengenakan kostum pelbagai watak semasa mengajar mata pelajaran Sains secara dalam talian melalui Google Meet menjadi satu daripada kaedah yang digunakan seorang guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Kaedah itu sekali gus me­ngundang keterujaan muridnya mengikuti subjek berkenaan.

Guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah, dekat sini, Ku Liana Farhany Ku Abdul Halim, 34, berkata, dia mengambil langkah kreatif de­ngan mengenakan kostum pel­bagai watak semasa mengajar mata pelajaran Sains secara dalam talian melalui Google Meet sekali gus mengundang keterujaan muridnya mengikuti subjek berkenaan.

Guru Sains tahun tiga dan enam itu memberitahu, kaedah tersebut dilakukan empat kali dalam seminggu.

Katanya, dia terpanggil me­lakukan proses pengajaran de­ngan cara tersebut selepas mendapat maklum balas daripada muridnya mengenai tahap pemahaman mereka dalam subjek itu yang kurang memuaskan semasa belajar dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Saya perlu melakukan se­suatu yang boleh menarik minat murid-murid kerana Sains bukan hanya dipelajari dengan membaca, sebaliknya perlu di­terangkan melalui fakta.

“Saya memilih mengajar secara langsung di Google Meet. Pemilihan membawa pelbagai watak semasa mengajar pula kerana saya berhadapan dengan kanak-kanak yang mana daya tumpuan mereka tidak lama, jadi sesuatu yang menarik perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Repoh Permai, di sini semalam.

Menurut Ku Liana Farhany, pemilihan watak tersebut adalah berdasarkan topik yang diajar seperti watak rangka manusia untuk topik sistem rangka manusia tahun lima dan roti berkulat untuk topik mikroorganisma tahun enam dan pelbagai lagi watak.

Katanya, penerimaan ibu bapa dan murid sangat memberangsangkan dengan ramai tidak sabar mengikuti kelas­nya, malah ada ibu bapa daripada sekolah lain menghantar mesej supaya dia membuka link secara langsung itu kepada anak-anak mereka.

“Buat masa ini, keutamaan saya berikan kepada murid-murid sekolah saya dahulu ke­rana mungkin memberi keka­ngan apabila terlalu ramai mu­rid dalam kelas yang sama.

“Kalau mahu rakam dan memuat naik ke Youtube pula, saya tidak mempunyai peralatan yang lengkap untuk berbuat demikian. Apa-apa pun, insya-Allah semua itu saya cuba lakukan,” ujarnya.

Tambahnya, meskipun me­ngadakan kelas melalui Google Meet, dia tetap memuat naik nota persembahan seperti biasa di Google Classroom untuk semua muridnya yang mempu­nyai kekangan daripada segi gajet atau talian internet yang lemah.

“Saya juga memilih membuat kelas Google Meet ini pada waktu malam iaitu pada 8.30 malam bagi memudahkan murid yang tidak mempunyai gajet sendiri dan hanya menggunakan gajet ibu bapa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN