Lima ahli Geng Mimi Vape ditahan - Utusan Malaysia

Lima ahli Geng Mimi Vape ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seramai lima lelaki disyaki ahli Geng ‘Mimi Vape’ ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Buluh Penyumpit di sini pada Rabu lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, penahanan lima lelaki berusia antara 25 hingga 39 tahun itu juga berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan kedai yang bermula sejak Jun tahun lalu.

Menurutnya, tangkapan pada operasi pertama membabitkan dua suspek yang ditahan di sebuah rumah separuh siap di Kampung Buluh Penyumpit pada pukul 7 pagi, Rabu lalu.

“Kedua-dua suspek berumur 32 dan 39 tahun dan tidak bekerja itu masing-masing mempunyai satu rekod lampau dalam kes samun dan dadah,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, hasil siasatan lanjut susulan tangkapan pertama itu, tiga suspek ditahan di sebuah rumah di kampung yang sama pada pukul 1.30 petang semalam.

Katanya, tiga suspek yang ditahan itu berusia 25 hingga 35 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Antara barang curi yang ditemukan hasil penahanan lima suspek adalah tiga unit komputer riba, satu tong gas memasak, perkakas pertukangan dan mesin pemotong rumput selain syabu seberat anggaran 11 gram dirampas,” katanya.

Jelasnya, modus operandi sindiket adalah memakai topi keledar yang menutup muka sepenuhnya dan mematikan suis utama premis ketika memecah masuk premis bagi mengelakkan dikesan oleh kamera litar tertutup.

“Suspek dipercayai melakukan kegiatan ini bagi mendapatkan bekalan dadah dengan melakukan sistem pertukaran barangan yang dicuri dengan pengedar,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.