Jumlah penganggur meningkat 772,900 orang - Utusan Malaysia

Jumlah penganggur meningkat 772,900 orang

MOHD. Uzir Mahidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengangguran meningkat kepada 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus sehingga Disember tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun bilangan kes baharu Covid-19 melebihi purata 1,500 kes sehari, aktiviti ekonomi masih dibenarkan untuk beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat. 

Justeru, katanya, bilangan penduduk bekerja pada Disember tahun lalu meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan atau bersamaan dengan 193,000 orang kepada 15.22 juta orang setelah mencatatkan penurunan marginal pada bulan sebelumnya. 

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.1 peratus.

“Mengikut sektor ekonomi, pekerja sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend yang semakin meningkat terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial; maklumat dan komunikasi serta pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, bagi guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan; pengangkutan dan penyimpanan dan kesenian, hiburan dan rekreasi terus menurun yang mencerminkan kesan pandemik kepada industri tersebut. 

“Guna tenaga dalam sektor pembuatan terus merekodkan pertumbuhan positif pada Disember 2020 manakala sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian kekal dalam trend negatif bagi bulan kelima manakala sektor pembinaan turut mencatatkan penurunan bulan ke bulan. 

 “Dari segi penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.6 peratus daripada jumlah guna tenaga meningkat sebanyak 0.2 peratus (235,000 orang) kepada 11.81 juta orang berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Tambahnya, kategori bekerja sendiri yang merangkumi 15.8 peratus penduduk bekerja, terus mencatatkan pengurangan bagi bulan ketiga sebanyak 0.6 peratus kepada 2.40 juta orang pada Disember 2020. 

Katanya, kumpulan ini terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan; freelancers; serta pekebun kecil. 

 “Keadaan pasaran buruh pada bulan Disember 2020 yang masih dipengaruhi oleh krisis kesihatan dan kesan ekonomi telah memperlahankan momentum pemulihan pasaran buruh. 

“Pasaran buruh pada bulan ini kekal kompetitif dengan bilangan tenaga buruh meningkat seramai 278,000 ribu orang kepada 15.99 juta orang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya