fbpx

8 Mei 2021, 9:57 am

  TERKINI

Jumlah ingkar SOP kembali turun mendadak kepada 596 individu

KESALAHAN rentas kawasan tanpa kebenaran kedua tertinggi dengan 134 kes. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas pecah rekod tertinggi kelmarin iaitu 1,111 individu, semalam jumlah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula turun.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya seramai 596 individu yang diberkas dan daripada jumlah itu, 532 dikompaun manakala 64 lagi direman.

“Kesalahan paling tinggi ialah tidak patuh jarak fizikal sebanyak 155 individu, diikuti rentas kawasan tanpa kebenaran dengan 134,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara hari ini.

Selain itu, tidak memakai pelitup muka (121), gagal sedia alat rekod butiran (83), premis sengaja beroperasi lebih masa atau secara tanpa kebenaran (17) dan pelbagai kes lain (86).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 65,436 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,422 pasukan di seluruh negara.

Beliau juga menambah, 15,557 anggota semalam telah memantau sejumlah 6,031 restoran,  3,967 pasar raya, 3,902 bank, 3,239 rumah ibadah, 2,664 pasar awam dan 2,204 penjaja.

Turut diperiksa oleh pasukan berkenaan di seluruh negara semalam jelas Ismail Sabri lagi, ialah sejumlah 1,571 kilang, 1,461 tempat riadah dan 815 buah pejabat kerajaan.

Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir ketika cuba ceroboh semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

Seorang PATI dan dua penyeludup juga ditahan selain dua buah kenderaan darat digunakan kumpulan terbabit turut dirampas pelbagai agensi penguatkuasaan menerusi operasi tersebut.

“Sejumlah 111 buah bot dan kapal yang dicurigai turut dikesan ada belayar berdekatan dengan kawasan sempadan perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan,” kata beliau.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 537 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.

Ismail Sabri memaklumkan sejumlah 89 operasi sanitasi awam juga dibuat semalam yang meliputi sebanyak 35 zon merah, tujuh zon jingga, sembilan zon kuning dan satu zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 431 anggota bomba selain 198 anggota pihak berkuasa tempatan dan 33 dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 77 jentera bomba.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 612 peruncit, 160 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu tambah beliau, turut melakukan 2,981 pemeriksaan khas pematuhan SOP di seluruh negara dengan sebuah premis diberi nasihat dan satu dikompaun. – UTUSAN