Individu sebar maklumat salah vaksin Covid-19 akan disiasat - Utusan Malaysia

Individu sebar maklumat salah vaksin Covid-19 akan disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkomproni jika ada mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan mengelirukan mengenai suntikan vaksin Covid-19.

Tegas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, polis akan membuka kertas siasatan sekiranya menerima sebarang laporan polis berhubung isu itu.

Katanya, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagaimanapun, setakat ini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara terbabit.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Acryl Sani berkata, mereka yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tular di media sosial wujud golongan antivaksin yang cuba mempengaruhi masyarakat dengan pelbagai maklumat salah berkaitan vaksin Covid-19.

Semalam, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama yang menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Turut menerima suntikan vaksin, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya