fbpx

2 Mac 2021, 1:07 pm

  TERKINI

Durian sumber rezeki Leyla

NORLEYLAWATI Ruslee menunjukkan sebahagian produk makanan berasaskan durian yang diusahakannya di rumahnya di Taman Sinar Intan, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang ibu tunggal meraih pendapatan RM10,000 sebulan dengan menjalankan perniagaan produk makanan berasaskan durian dari rumahnya di Taman Sinar Intan di sini sejak 10 tahun lalu.

Antara jenis produk makanan berasaskan durian yang dijual ialah durian crepe, ais krim durian, pulut durian, kek durian, pes tempoyak, mille crepe durian, durian shake, poketmon durian dan pau durian.

Norleylawati Ruslee, 40, atau Leyla berkata, dia menerima banyak tempahan produk makanan tersebut daripada penggemar durian terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, dia tidak menyangka perniagaan produk makanan berasaskan durian yang diusahakan sejak 10 tahun lalu itu dapat bertahan sekali gus menjana pendapatan lumayan.

“Pendapatan awal saya sekitar RM2,000 sebulan sebelum meningkat RM10,000 tahun lalu,” katanya di sini semalam.

Ibu tunggal kepada tiga orang anak ini berkata, dia sering mencuba pelbagai resipi manisan terutamanya berasaskan durian sekadar untuk memenuhi selera sendiri dan keluarga.

“Kami sekeluarga memang penggemar durian jadi saya suka mencuba pelbagai resipi baharu yang dikongsi di internet dan setiap resipi yang saya cuba sering mendapat pujian ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Sejak itu timbul ilham menjual durian crepe secara dalam talian dan saya sendiri yang akan membuat penghantaran kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, dengan berbekalkan modal sendiri sebanyak RM3,000, dia mula menjual durian crepe dengan membeli kira-kira 10 kilogram buah durian.

Namun tambahnya, permintaan durian crepe semakin meningkat sehingga perlu menambah bekalan durian 70 kilogram setiap kali tempahan dibuka.

“Bagaimanapun ketika itu tempahan hanya boleh dibuka ketika musim durian kerana belum mempunyai pembekal isi durian dalam tempoh sepanjang tahun,” jelasnya.

Katanya, semua produknya kini diiklan secara dalam talian dan pelanggan boleh mendapatkan produk makanan durian terbabit secara terus dari rumahnya atau tempahan melalui ejen dan aplikasi Food Panda.

“Saya berhasrat memajukan perniagaan ini dan membuka sebuah kafe,” katanya.