Dua dalang bersama warga Aceh edar dadah ditahan  - Utusan Malaysia

Dua dalang bersama warga Aceh edar dadah ditahan 

PEGAWAI daripada Jabatan Siasatan Narkotik Selangor menunjukkan dadah pelbagai jenis yang dirampas dalam beberapa serbuan Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak empat bulan lalu tumpas dengan tertangkapnya empat individu termasuk dua dalang dalam tiga serbuan berasingan di Serdang dan Kuala Lumpur Rabu lalu.

Dalam serbuan bermula pukul 4 petang itu, empat suspek termasuk dua warga Aceh yang berstatus penduduk tetap berusia 44 hingga 60 tahun ditahan bersama rampasan dadah bernilai RM900,750 pelbagai jenis.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan bersama dua warga asing di parkir kereta di Serdang, Puchong.

“Hasil serbuan telah berjaya merampas 13 bungkusan teh cina berisi dadah jenis syabu seberat 13.39 kilogram (kg) bernilai RM602,550 dan 13 bungkusan pil ecstasy sebanyak 13,900 biji berjumlah RM250,200.

“Sementara itu, dalam serbuan berikutnya di Kuchai Lama dan Cheras dekat sini kita merampas 10 paket plastik heroin seberat 4.4kg bernilai RM48,000,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati sindiket bergerak aktif dengan melakukan pengedaran sejak November tahun lalu dengan memilih Lembah Klang untuk pasaran.

Menurutnya, kedua-dua dalang warga tempatan itu menempah dadah daripada sindiket yang berpusat di negara jiran di Utara Semenanjung dan kedua-duanya tidak mengenali antara satu sama lain manakala warga Acheh itu akan bertindak sebagai ‘runner’.

“Kita juga telah membuat sitaan terhadap dua kenderaan suspek iaitu dua buah kereta iaitu Proton Waja dan Toyota Altis bernilai RM91,000. Kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai mampu membekalkan kepada 49,000 penagih dadah.

“Sindiket dipercayai menggunakan teh bungkusan cina yang dibawa dari luar negara ini adalah sebagai penanda untuk industri dadah dengan mempunyai tiga warna berlainan iaitu emas, hijau dan kuning,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pemeriksaan ujian air kencing mendapati kedua-dua dalang yang ditahan itu positif dadah jenis syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah.

“Kita kini sedang menjalankan siasatan untuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran ini. Kesemua suspek kini direman sehingga 10 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya