BUKIT MERTAJAM: “Kami tidak pernah menyesal apabila membuat keputusan untuk memeluk Islam sejak tahun lepas. Malah hidup kami kini lebih tenang walaupun dirundung dengan pelbagai masalah.”
Itu kata Lim Chuan Hin atau nama Islamnya, Abdul Rahman Lim, 56, ketika ditanya mengenai penghijrahannya dengan memeluk Islam.
Abdul Rahman kini tinggal berdua bersama abang kandungnya, Lim Lai Hock atau Abdul Rahim Lim, 57, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) selepas terbabit dengan nahas jalan raya lebih 30 tahun lalu sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong.
Kedua-duanya memilih memeluk Islam pada Mac tahun lepas selepas tertarik dengan keindahan Islam.
Bagaimanapun kata Abdul Rahman, sejak itu ujian serta dugaan datang bertimpa-timpa termasuk hampir disisihkan keluarga kandung selain berdepan masalah kewangan yang meruncing.
Lebih memeritkan, Abdul Rahman yang selama ini memikul tanggungjawab untuk menyara abangnya terlibat dengan kemalangan jalan raya kira-kira lima bulan lalu hingga mengakibatkan daya penglihatannya semakin kabur selain sukar mendapatkan pekerjaan.
“Sekarang, saya terpaksa berjalan kaki atau naik bas sahaja untuk ke mana-mana termasuk mencari kerja sebab tak ada kenderaan.
“Saya lebih banyak melakukan kerja-kerja sambilan tidak jauh dari rumah kerana tidak berani meninggalkan abang untuk tempoh yang lama kerana dia juga mempunyai masalah sawan,” kata Abdul Rahman ketika ditemui di rumahnya di Taman Machang Bubok di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, mereka bernasib baik tidak perlu menyewa kerana memiliki kediaman sendiri yang dibeli sejak 30 tahun lalu hasil wang simpanan serta titik peluh dia dan abangnya ketika masih bekerja.
Jelas Abdul Rahman, dia pernah bertugas sebagai seorang juruteknik selama hampir lapan tahun di Singapura sebelum ini manakala abangnya pernah bekerja sebagai pembuat jubin sebelum terlibat dengan kemalangan jalan raya.
Katanya, Abdul Rahim juga pernah menjadi pemuzik sambilan untuk menambah pendapatan mereka dua beradik namun terpaksa berhenti disebabkan masalah kesihatan termasuk sawan yang menyerang secara tiba-tiba.
“Ketika ini, kami hanya menerima wang bantuan sebanyak RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selain ihsan daripada jiran serta kawan-kawan yang simpati dan faham masalah kami.
“Kadang-kadang kami mencatu makanan yang ada dan saya juga terpaksa tebalkan muka meminta bantuan jika tiada langsung makanan di rumah,” katanya yang mengakui tetap bersyukur kerana diberikan peluang memeluk Islam walaupun pada usia yang agak lewat. – UTUSAN ONLINE










