Bubble Bee buka cawangan di Kuala Kangsar - Utusan Malaysia

Bubble Bee buka cawangan di Kuala Kangsar

SHUIB (kanan) pada pembukaan cawangan Bubble Bee Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Bubble Bee Sdn. Bhd. terus mengukuhkan rangkaian perniagaannya di negara ini dengan pembukaan cawangan terbaharu di Kuala Kangsar.

Pengasasnya, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali Shuib berkata, cawangan itu merupakan yang ke-33 di seluruh negara dan keempat di Perak selepas Meru, Parit Buntar dan Taiping.

Katanya, cawangan tersebut juga akan menyediakan khidmat pandu lalu di mana ia akan beroperasi dalam masa terdekat.

“Meskipun ini merupakan cawangan ke-33, namun, sambutan yang diterima masih luar biasa di mana orang ramai terus memberikan kami sokongan padu.

“Selepas pembukaan cawangan di sini, kami akan membuka lima lagi cawangan di lokasi strategik di Perak iaitu Tanjung Malim, Slim River, Lumut, Teluk Intan dan Tapah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bubble Bee di sini hari ini.

Menurut Shuib, beberapa cawangan lagi akan dibuka di beberapa lokasi selaras dengan sasaran pihaknya untuk membuka 100 cawangan di seluruh negara.

Katanya, pembukaan cawangan produk minuman air boba berasaskan madu lebah itu juga diharap dapat membantu menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.

“Ini usaha kecil kami dengan purata setiap cawangan mempunyai 20 kakitangan, insyallah ia sedikit sebanyak boleh membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya yang turut berhasrat menembusi pasaran Sabah dan Sarawak.

Dalam perkembangan berlainan, beliau memberitahu, hasrat pihaknya untuk menubuhkan Yayasan Bubble Bee bakal terlaksana tidak lama lagi apabila kini dalam proses pendaftaran.

Katanya, objektif penubuhan yayasan itu nanti adalah untuk pihaknya berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

“Idea penubuhan yayasan ini sudah lama sejak Bubble Bee ditubuhkan. Kami terpanggil untuk menubuhkannya setelah tertarik dengan usaha pendakwah terkenal, Ebit Lew yang tidak pernah jemu membantu masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.