fbpx

Bila masa selesai? – Hamidah Osman

HAMIDAH Osman menegaskan Enakmen Rizab Tanah Melayu, Seksyen 8(1) dan 9 jelas menyebut halangan pindah milik tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Bila masa pula selesai? Saya tidak dimaklumkan apa-apa pun. Kes ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa.”

Itu kata Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang menyifatkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad telah membuat kenyataan mengelirukan baru-baru ini apabila berkata isu tanah rizab Melayu berkeluasan 641.6 hektar di Perak yang didedahkan Mingguan Malaysia sebelum ini, sudah selesai kerana tanah tersebut masih berstatus tanah rizab Melayu.

Hamidah berkata, walaupun tanah berkenaan masih berstatus tanah rizab Melayu, tapi ia kini dimiliki oleh orang bukan Melayu.

Hal itu katanya, jelas membuktikan isu tersebut masih belum selesai kerana bertentangan dengan Enakmen Rizab Tanah Melayu serta Akta Kanun Tanah Negara.

“Kenapa pula kata isu ini sudah selesai sedangkan ia dalam siasatan pihak berkuasa?

“Kalau kita tengok Enakmen Rizab Tanah Melayu, Seksyen 8 (1) dan 9 jelas menyebut halangan pindah milik atau apa-apa urus niaga ke atas tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu.

“Jadi macam mana kata ia sudah selesai, sedangkan tanah itu kini dimiliki orang bukan Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu Saarani menegaskan, hasil pemeriksaan dan siasatan kerajaan negeri termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mendapati status tanah tersebut masih rizab Melayu.

Katanya, jawapan PTG adalah jawapan sebenar, tiada dolak dalik dan menggesa semua menerima jawapan itu.

Menyifatkan kenyataan Saarani sebagai usaha menyorok isu ke bawah karpet, Hamidah mendakwa, banyak perkara meragukan ditemukan pasukan forensik tanah yang menyiasat isu itu terutama mengenai
‘kehilangan’ memorial penting dalam Borang Pajakan Negeri yang mengesahkan status tanah sebagai rizab tanah Melayu.

Katanya, dalam Borang 5CK Pajakan Negeri bertarikh 3 Februari 2005, ada pihak tertentu telah memadamkan catatan ‘Pengisytiharan Rizab Melayu Bernombor Gazet 488”, sekali gus membuktikan ada unsur jenayah dalam komplot ini.

“Di sinilah kita musykil, bagaimana perkara yang amat penting iaitu tanah rizab Melayu boleh hilang dengan tiada sebarang prosedur yang dibuat melalui enakmen dan Akta Kanun Tanah Negara.

“Atas sebab itulah, saya lihat Menteri Besar seolah-olah cuba menyorokkan sesuatu apabila keluarkan kenyataan sebegitu. Saya tertanya-tanya, apa sebenarnya agenda beliau?” soalnya.

Beliau mendesak kerajaan negeri bersama-sama dalam usaha mengembalikan semula tanah itu daripada pemilikan orang bukan Melayu.

POPULAR

KOSMO! TERKINI