Bekas penolong pengurus operasi syarikat logistik didenda RM10,000 - Utusan Malaysia

Bekas penolong pengurus operasi syarikat logistik didenda RM10,000

T.VADIVELAN dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas pertuduhan rasuah bagi meneruskan kontrak lantikan kerja empat tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbuatan bekas penolong pengurus operasi sebuah syarikat logistik yang menerima rasuah bagi meneruskan kontrak lantikan kerja empat tahun lalu membawa padah apabila dia didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, T. Vadivelan, 51, didenda selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Vadivelan didakwa menerima suapan RM4,804.40 daripada seorang lelaki merupakan pengurus sebuah syarikat sebagai dorongan untuk meneruskan kontrak lantikan kerja-kerja untuk pembekalan tenaga kerja.

Tertuduh yang diberhentikan kerja pada 2018 itu melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Taman Subang Perdana di sini pada 15 Oktober 2017.

Dia yang kini bekerja sebagai eksekutif di sebuah gudang didakwa di bawah Seksyen (25) (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009  (Akta 694) yang boleh dihukum Seksyen 25 (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan kerana sepatutnya melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa bukannya mengambil peluang terhadap hubungan kerja dengan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman terhadapnya dikurangkan kerana perlu menyara anak dua anak berusia 18 dan 20 tahun masing-masing sedang belajar di sebuah politeknik serta perlu menyara ibu mentua yang sakit buah pinggang.

Hakim Rozilah dalam penghakimannya pula berharap hukuman yang diberikan itu dapat menginsafkan tertuduh dan seharusnya berasa kesal kerana melakukan perbuatan tersebut dalam usianya sekarang. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya