2 lokaliti di Sabah, Sarawak kena PKPD - Utusan Malaysia

2 lokaliti di Sabah, Sarawak kena PKPD

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua perkampungan di Sabah dan sebuah penempatan di Sarawak bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula serentak esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya ialah di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Daerah Nabawan, Bahagian Pedalaman, Sabah.

“Sehingga kini, secara kumulatif 42 kes positif Covid-19 telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan yang melibatkan dua lokaliti ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Pihak kementerian itu ujar beliau, mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di dua perkampungan ini yang majoriti etnik Murut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

Justeru tambah beliau, setelah dibuat penilaian risiko bersama-sama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju PKPD bermula 27 Februari sehingga 12 Mac.

Kawasan yang bersempadan Wilayah Kalimantan Utara, Indonesia itu mencetuskan Kluster Sinsingon pada 24 Februari lalu dengan membabitkan peserta satu upacara pengebumian.

Turut dikenakan PKPD untuk tempoh sama kata Ismail Sabri ialah di Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Bahagian Sibu, Sarawak yang melibatkan hampir 2,500 orang penduduk.

Pelaksanaan PKPD di lokaliti ini diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dan dipersetujui pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal di peringkat pusat.

“Setakat ini, secara kumulatif, sejumlah 59 kes sudah direkodkan dan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan wabak pula adalah tinggi,” jelas beliau lagi.

Langkah itu juga ujar beliau, untuk memudahkan pihak Kementerian Kesihatan melakukan proses saringan secara bersasar dan dapat mengawal penularan dalam komuniti setempat.

PKPD selama dua minggu tersebut jelas beliau, melibatkan kawasan kediaman penduduk dalam sempadan laluan Jalan Sentosa, Jalan Sentosa Timur dan Lorong Sentosa Utara 7.

Dalam pada itu, PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak dan kuarters kakitangan di Batu Gajah, Daerah Kinta, Perak yang dijadualkan tamat esok, telah dilanjutkan lagi sehingga 13 Mac.

Kementerian Kesihatan kata Ismail Sabri, mengesahkan peningkatan kes masih berlaku meliputi tahanan apabila sebanyak 13 kes baharu Covid-19 direkodkan pada semalam.

“Sehingga kini, kementerian tersebut sudah melakukan 761 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 433 kes positif telah pun direkodkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya