1MDB: Ambank setuju bayar RM2.83 bilion - Utusan Malaysia

1MDB: Ambank setuju bayar RM2.83 bilion

imdb
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AMMB Holdings Berhad bersetuju membayar RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan penglibatan Kumpulan AmBank dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Kementerian Kewangan, jumlah itu adalah tambahan kepada denda RM53.7 juta yang telah dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan dibayar oleh Kumpulan AmBank.

Penyelesaian global terkini itu jelasnya, adalah sebahagian daripada usaha tuntutan kembali oleh Kerajaan Malaysia yang berterusan terhadap semua pihak terlibat, secara langsung atau tidak langsung, dengan 1MDB dan entiti berkaitan dengannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walau bagaimanapun, kesemua penyelesaian ini tidak akan membebaskan entiti dan individu lain daripada salah laku mereka di dalam kes 1MDB dan mereka akan tetap didakwa menerusi sistem keadilan mahkamah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada Julai 2020, kerajaan telah berjaya dalam rundingan dengan Goldman Sachs
untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion).

Menurut Kementerian Kewangan, Kumpulan AmBank telah pun mengambil langkah-langkah menyeluruh untuk memperbetulkan kekurangan yang berkaitan dengan urus niaga terbabit.

“Ini termasuk langkah-langkah di bawah program pemulihan yang disyaratkan oleh BNM untuk dilaksanakan oleh Kumpulan AmBank, yang kini diterajui oleh lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan yang baharu.

“Dengan langkah-langkah ini, Kumpulan AmBank berada dalam keadaan lebih baik untuk terus melindungi kepentingan pendeposit serta pemegang saham dan bagi memastikan pertumbuhannya pada masa hadapan,” katanya.

Kementerian Kewangan turut memaklumkan bahawa, penyelesaian global oleh AMMB Holdings itu adalah berkait dengan pematuhan undang-undang sekuriti dan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Katanya, sebahagian daripada terma-terma penyelesaian global itu termasuk syarat oleh SC agar AmInvestment Bank Berhad mengambil langkah-langkah pembetulan, termasuk menambahbaik sistem dan proses untuk memperkuatkan kerangka kerja tadbir urus mereka di dalam penilaian sukuk terbitan korporat.

Kementerian turut menegaskan bahawa, penyelesaian global ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak-pihak lain yang berkaitan dan yang masih giat dicari berkaitan skandal 1MDB.

Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, SC, BNM, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian tersebut.

Mengulas perkembangan terbaharu itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penyelesaian terbaharu ini bermanfaat bagi rakyat Malaysia.

“Penyelesaian perkara ini melalui sistem mahkamah akan melibatkan masa dan sumber kewangan yang banyak. Dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah tersebut akan dipercepatkan, dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa. Jumlah ini juga dapat digunakan untuk melangsaikan kewajipan tertunggak 1MDB,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×