fbpx

Yapeim sumbang 500 tilam untuk mangsa bah di Raub

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (tengah) merasmikan pelepasan konvoi tiga treler misi bantuan mangsa banjir Pahang di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Raub, Pahang, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) turut mengambil inisiatif menggerakkan misi bantuan khas .

Namun kali ini, agensi itu menyampaikan sumbangan berbentuk 500 gulung tilam untuk diagih kepada 250 keluarga di sekitar daerah berkenaan yang terjejas teruk akibat bencana tersebut.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkilfli Mohamad Al-Bakri hari ini merasmikan gimik pelepasan tiga buah treler yang membawa muatan tilam berkenaan.

“Yapeim melaksanakan inisiatif ini menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami – Misi Bantuan Program Musaadah 2021 ke Negeri Pahang,” kata agensi tersebut menerusi kenyataan di sini.
Ketiga-tiga treler berkenaan bertolak dari Kompleks Islam Putrajaya dan dijangka tiba di Raub, hari ini sebelum pengagihan kepada keluarga yang terlibat dengan musibah tersebut.

Program ini ujarnya, turut mempunyai objektif iaitu bagi memberi sedikit kegembiraan seterusnya menjadi bentuk sokongan kepada mangsa banjir di atas bencana yang berlaku.

Turut hadir pada majlis pelepasan itu ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid dan pemangku Ketua Pengarah Yapeim, Parihah Hasan.

“Yapeim berharap sumbangan mampu mengurangkan bebanan keluarga yang punca pendapatan rendah atau sumber kewangan isi rumah terhad selain golongan B40,” katanya.

Sebelum ini, Program Inspirasi Qaseh Kami yang digerakkan Skuad Qaseh Yapeim telah menyalurkan sumbangan kepada ramai mangsa di setiap negeri yang terjejas akibat banjir.

Bantuan Inspirasi Qaseh Kami – Program Foodbank Yapeim itu meliputi makanan asas dan daging segar sama ada dimasak di pusat pemindahan sementara atau diberi kepada mangsa.

Kenyataan itu menambah, pada 8 Januari lalu, Zulkifli malahan turut bersama mengagihkan keperluan asas mangsa banjir di Masjid Kampung Kundang Patah, Dong, Raub, Pahang.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary pula mengagihkan sumbangan daripada agensi itu di sekitar Kuala Lipis, Pahang.

“Yapeim memaksimumkan segala agihan amal jariah yang disumbangkan orang ramai untuk digunakan sebagai manfaat kepada mereka yang benar memerlukan,” jelas kenyataan itu.

Agensi itu percaya dengan segala aktiviti dilaksanakan kini ia dapat meningkatkan keyakinan masyarakat menyumbang kepada Yapeim bagi tujuan pelaksanaan program amal jariah. – UTUSAN ONLINE