Warga emas patah kaki, pinggul dikejar kera - Utusan Malaysia

Warga emas patah kaki, pinggul dikejar kera

PENGUATKUASA Perhilitan negeri meletakkan semula sangkar perangkap kera di lokasi kejadian selepas seorang warga emas dikejar haiwan itu di Kampung Morten, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Wanita warga emas berisiko lumpuh selepas patah kaki kiri dan pinggul ketika cuba menyelamatkan diri daripada dikejar seekor kera liar di halaman rumahnya di Kampung Morten, pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 73 tahun mengalami patah di bahagian paha dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka. 

Sidang Kampung Morten, Ahmad Safwan Salim ketika dihubungi berkata, kejadian malang itu berlaku ketika mangsa dikatakan sedang membersihkan halaman rumahnya.

“Mangsa tinggal seorang diri dirumahnya dan ketika dia sedang membersihkan halaman rumah tiba-tiba datang seekor kera ‘menyergahnya’ menyebabkan warga emas itu terkejut.

“Mangsa kemudian melarikan diri kerana bimbang diserang sebelum dipercayai terjatuh menyebabkan kaki kirinya patah,” katanya di sini, hari ini.

Ujar Ahmad Safwan, mangsa yang menjerit meminta tolong kemudian dibantu penduduk sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, difahamkan mangsa perlu menjalani beberapa pembedahan di bahagian kaki dan pinggul atau berisiko untuk lumpuh. 

Mengulas lanjut Ahmad Safwan berkata, kes gangguan kera itu adalah yang kedua berlaku di kampung berkenaan sejak 2017 selepas habitat haiwan itu di Taman Rumpun Bahagia, Bachang dibangunkan.

“Kes pertama berlaku pada 2017 yang turut mengakibatkan seorang warga emas patah kaki akibat dikejar sekumpulan kera yang ingin mencari makanan di sekitar kawasan ini. 

“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kemudian telah meletakkan sangkar untuk menangkap haiwan liar tersebut sebelum mengalihkan perangkap itu ke kawasan lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Mohd. Firrdhaus Mahmood berkata, susulan kejadian kelmarin, pihaknya telah meletakkan semula sangkar berkenaan di kawasan itu. 

“Selepas insiden 2017, kita telah memindahkan sangkar ke kawasan lain selepas mendapati kawasan itu telah pasif (tiada serangan kera). 

“Bagaimanapun semalam, kita telah letakkan semula sangkar di situ. Kita tidak boleh tembak lupus kera di sana kerana kawasan itu mempunyai bangunan tinggi dan khuatir tembakan akan tersasar,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya