Tiada desakan Presiden UMNO letak jawatan-UMNO Selangor - Utusan Malaysia

Tiada desakan Presiden UMNO letak jawatan-UMNO Selangor

NOH ketika melakukan proses sanitasi di kawasan SMK Tiram Jaya, Tanjong Karang, Selangor, hari ini.UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: UMNO Selangor tidak pernah melakukan sebarang desakan supaya Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai Presiden parti.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini, tiada UMNO Bahagian di negeri ini menyatakan desakan seumpama itu terhadap presiden.

Menurutnya, sekiranya ada, perkara itu adalah lebih kepada pendapat peribadi atau individu dan bukan secara keseluruhannya.

“Malah, dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian baru-baru ini juga tiada sebarang usul dibentangkan mengenai desakan berkenaan. Kita berpegang teguh kepada institusi Presiden dan kekal menunggu sidang pemilihan parti itu pada tahun ini.

“Semua pihak seharusnya terus menghormati prinsip perlembagaan dan peraturan parti berkenaan. Sekiranya melibatkan soal penukaran Presiden, kita mempunyai peraturan dan institusi Presiden yang dipilih oleh perwakilan perlu dihormati.

“Saya dimaklumkan pemilihan parti akan diadakan tahun ini juga dan kita perlu menunggu waktu itu nanti,” katanya ketika mengulas isu desakan daripada kepimpinan pemuda bahagian dan negeri agar Ahmad Zahid melepaskan jawatannya.

Terdahulu, Noh ditemui dalam program sanitasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya, Tanjong Karang di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman sebelum ini melabelkan kelemahan kepimpinan Ahmad Zahid, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli-ahli Parlimen parti Melayu itu kini hilang hala tuju.

Mengulas lanjut, Noh berkata, prinsip demokrasi diamalkan UMNO selama ini tidak harus diketepikan dan perlu mengikut saluran betul.

“Mana-mana pihak tidak boleh mendesak kecuali Presiden sendiri mahu meletakkan jawatan dan jangan hanya mahu menghebohkan keadaan semata-mata.

“Jangan berpecah belah kerana bimbang nanti bukan saja lawan, malah kawan juga tidak hormati kita,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya