fbpx

3 Disember 2021, 4:08 pm

  TERKINI

SKMM tinjau masalah capaian internet rendah di Pulau Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Selepas mendapat liputan meluas media semalam berikutan masalah capaian internet yang lemah di Pulau Aman dekat sini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini tampil turun padang meninjau situasi berkenaan. 

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Aman, Saibi Abd. Majid berkata, SKMM sudah melaksanakan pemeriksaan isyarat telekomunikasi dengan menggunakan beberapa peralatan khas kira-kira pukul 10 pagi ini. 

“Saya dimaklumkan sememangnya terdapat rangkaian capaian internet yang agak rendah daripada beberapa syarikat telekomunikasi yang menyebabkan penduduk berdepan dengan kesukaran untuk mengaksesnya. 

“Menara telekomunikasi yang sedia ada didapati menghala ke kawasan Jambatan Sultan Abdul Halim Shah (JSAHS) dan Batu Kawan. 

“Jadi, sebuah menara telekomunikasi khusus dicadang untuk dibina di pulau ini selepas masalah berkaitan tanah diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Semalam, akhbar menyiarkan masalah capaian internet perlahan yang dihadapi  penduduk setempat bukan sahaja menyukarkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) malah membimbangkan pelajar yang khuatir akan keciciran dalam pelajaran. 

Lebih menyukarkan, terdapat pelajar yang terpaksa menggunakan dua telefon pintar di mana salah satu daripadanya digunakan sebagai hotspot untuk mendapatkan isyarat telekomunikasi yang lebih baik. 

Mengulas lanjut, Saibi berkata, beliau amat bersyukur kerana menerima panggilan SKMM selepas isu terbabit disiarkan semalam. 

“Selain itu, saya turut diberitahu SKMM akan membantu dengan meminta syarikat telekomunikasi meneliti semula rangkaian internet yang ditawarkan selain meningkatkan had liputan untuk kemudahan penduduk setempat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI