Pembonceng juga mengaku tak ditendang polis - Utusan Malaysia

Pembonceng juga mengaku tak ditendang polis

SOFFIAN SANTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pembonceng motosikal yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, di sini Ahad lalu juga membuat pengakuan tidak ditendang anggota unit rondaan bermotorsikal (URB) semasa insiden berlaku.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada pemuda berusia 19 tahun itu di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.

Menurutnya, lelaki yang tidak bekerja itu juga mengakui tiada kejadian ditendang anggota URB di tempat kejadian.

“Bagaimanapun kita difahamkan lelaki tersebut dimasukkan semula ke unit rawatan rapi (ICU).

“Belum dapat dipastikan lagi sebabnya (dimasukkan ke ICU). Kita akan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, rakannya berusia 21 tahun yang juga penunggang motosikal terbabit mengakui tiada kejadian dikasari atau ditendang polis ketika kejadian berlaku.

Dia yang dikatakan mengalami patah kaki kanan telah dibenarkan pulang ke rumah dari HPP petang Isnin lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, reman ke atas tujuh lelaki yang menghalang penjawat awam bertugas semasa kejadian kemalangan dua remaja terbabit disambung dua hari lagi.

Tempoh reman yang dilanjutkan sehingga 23 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

“Kertas siasatan berhubung kes tersebut telah dimajukan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan pendakwaan,” tambah Soffian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya