Pegawai Imigresen tertekan kawal terlalu ramai PATI di MAEPS - Utusan Malaysia

Pegawai Imigresen tertekan kawal terlalu ramai PATI di MAEPS

Anggota Imigresen dikatakan tertekan ketika bertugas menjaga pendatang asing tanpa izin yang terlalu ramai di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Petugas imigresen yang terlibat dalam kawalan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) didakwa mengalami tekanan ekoran kekurangan kakitangan bertugas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, jumlah pesakit Covid-19 yang tinggi menyebabkan keupayaan pegawai Imigresen tidak mampu memenuhi garis panduan penguatkuasaan membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, mengikut kaedah yang ditetapkan, sepatutnya dua pegawai mengawal seorang PATI, tetapi di sini seorang pegawai perlu ‘menjaga’ kira-kira 50 PATI yang dilihat sangat berbahaya.

“Perkara ini sudah berlarutan untuk tempoh tertentu hinggakan ada yang merayu kepada pengurusan tertinggi Imigresen agar menyegerakan pertambahan bilangan pegawai. Namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan malah kami menerima arahan bahawa ‘over time’ juga tidak dibenarkan.

“Jika mahu katakan Imigresen tidak mempunyai cukup anggota, ia tidak berasas kerana sejak Covid-19 melanda negara ini, ramai pegawai bersedia untuk bertugas susulan pintu sempadan ditutup,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, penugasan di MAEPS amat mencabar kerana dengan pembahagian tiga syif kawalan dan kawalan iring ke tandas, ia sesuatu yang sangat memenatkan dan boleh membahayakan pegawai bertugas sekiranya berlaku rusuhan.

Seperti baru-baru ini katanya, berlaku rusuhan antara PATI warga Indonesia dan warga Afrika yang menyebabkan berlaku kecederaan berikutan pegawai bertugas yang tidak mencukupi hingga sukar mencegah dan menghalangnya berlaku.

“Jika di Depot Tahanan Imigresen (DTI), ia tidak mempunyai masalah kerana mereka diletakkan di dalam sel tetapi di sini (MAEPS), ia hanyalah ruang terbuka yang diubah suai sementara untuk pesakit Covid-19 dalam kalangan PATI.

“Cuba bayangkan sekiranya berlaku rusuhan yang serius, petugas tidak mampu mengawalnya kerana bilangan sangat kecil biarpun terdapat satu Pasukan Kawalan Khas (PKK) yang ditempatkan di kawasan berhampiran,” katanya.

Tambahnya, keupayaan kawalan juga terjejas apabila terdapat seorang pegawai yang positif Covid-19 hingga menyebabkan satu pasukan yang dikategorikan kontak rapat menjalani kuarantin.

“Ini menyebabkan satu pasukan lumpuh sekali gus mengurangkan lagi pegawai yang bertugas di zon merah,” katanya.

Disember lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan untuk membuka semula PKRC 2.0 di MAEPS, Serdang, Selangor dengan kapasiti 10,000 katil dalam tiga fasa berperingkat.

Ini susulan peningkatan drastik pekerja asing disahkan Covid-19 hasil saringan besar-besaran yang dilaksanakan di Lembah Klang ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN