SUNGAI PETANI: Pantai peranginan terkenal di negeri ini, Pantai Merdeka di Kota Kuala Muda kebiasaannya meriah dengan kehadiran pengunjung terutama pada hujung minggu, namun kini suasana sunyi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kedah yang bermula sejak Rabu lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bilangan pengunjung berkurangan manakala kebanyakan gerai jualan dan kedai makanan pula ditutup.
Penyelamat Pantai, Koperal (PA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mohd. Amin Mahamud berkata, bilangan pengunjung berkurang secara mendadak sejak PKPB diumumkan walaupun pantai pelancongan itu masih dibuka untuk pengunjung.
Katanya, kebiasaannya pada hujung minggu didapati ramai pengunjung akan datang untuk berkelah dan memancing tetapi sejak PKPB jumlah pengunjung berkurangan.
“Setakat ini, Pantai Merdeka masih dibuka dan orang ramai boleh berkunjung ke sini, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Seorang peniaga gerai makanan, Rahmah Batin, 73, berkata, dia terpaksa memberi cuti tanpa gaji kepada pekerjanya dan berniaga sendiri kerana kekurangan pelanggan sejak Rabu lalu.
“Kebiasaannya Pantai Merdeka menjadi tumpuan pengunjung termasuk dari Pulau Pinang beriadah di pantai ini.
“Saya harap PKPB ini akan berakhir segera supaya perniagaan yang diusahakan di sini tidak terjejas teruk,” katanya.
Seorang peniaga lain, Rosena Ismail, 58, berkata, meskipun pelanggan tidak ramai, namun dia masih berniaga kerana itu sahaja pendapatannya untuk menyara hidup.
“Saya terpaksa berniaga juga untuk mendapatkan wang belanja harian walaupun hasil jualan ketika PKPB ini hanya sekitar puluhan ringgit berbanding hari biasa yang boleh mencecah ke ratusan ringgit,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Sungai Petani, Ena Sharini Abidunnajar, 33, berkata, dia pada awalnya hanya mahu bersiar-siar menaiki kereta namun singgah untuk duduk di tepi pantai apabila melihat tidak ramai orang di situ.
“Jika didapati ramai pengunjung macam selalu, saya tidak akan singgah kerana bimbang dijangkiti Covid-19,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu mengumumkan PKPB dilaksanakan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan bermula Rabu lalu. – UTUSAN











