NGO perlu mohon kebenaran beri bantuan banjir - Utusan Malaysia

NGO perlu mohon kebenaran beri bantuan banjir

Ismail Sabri Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghantar bantuan ke kawasan terlibat banjir perlu memohon dan mendapat  kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana  Negeri (JPBN) atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD). 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, JPBN atau JPBD akan mengeluarkan surat kebenaran dan surat  tersebut boleh digunakan oleh NGO untuk melepasi sekatan jalan raya pihak polis. 

Walau bagaimanapun, katanya, setiap NGO adalah digalakkan untuk  menumpukan aktiviti bantuan di kawasan berhampiran  atau dalam negeri yang sama bagi mengurangkan  pergerakan rentas negeri. 

“Kita faham banyak NGO  termasuk orang persendirian prihatin masalah rakyat kerana bencana banjir dan ramai akan turun ke kawasan terlibat. Namun pergerakan mereka dari zon merah misalnya membinbangkan penduduk negeri itu yang kes positif Covid-19 jauh lebih rendah.

“Oleh sebab itu kita mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) ini supaya tidak berlaku terlalu ramai pergi ke kawasan banjir dan boleh menyebabkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 pula,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Seremban, Mukim 12 Daerah Barat Daya dan Mukim  13 Daerah Timur Laut, Batu Pahat dan Johor Bahru yang sepatutnya tamat pada hari ini diteruskan mengikut arahan terbaharu PKP di negeri masing-masing sehingga 26 Januari ini. 

Beliau berkata, PKP Diperketatkan  (PKPD) di Penjara Kluang dan  Kuarters Penjara Kluang, Johor pula ditamatkan seperti dijadualkan selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan baki kes aktif di  penjara ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal. 

Katanya, sebanyak 2,551 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 783 kes  positif direkodkan. 

Beliau menjelaskan PKPD di Dewan Arena Segitiga, Lot 19094, Taman  Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor turut ditamatkan selepas 171 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 164 kes  positif direkodkan.  

“Semua  orang kena tahan (OKT) yang positif telah sembuh serta dibenarkan pulang   dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan semua kontak rapat telah tamat tempoh kuarantin 10 hari,” katanya. 

Walau bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir,  Muar dilanjutkan sehingga 29 Januari ini kadar positiviti di lokaliti ini sangat  tinggi dan masih terdapat 1,104 baki kes aktif yang  ditempatkan di PKRC yang terletak dalam kawasan PKPD. 

Katanya, PKPD di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2,  Senai, Johor juga dilanjutkan sehingga tempoh sama apabila mendapati baki kes aktif di lokaliti ini masih lagi  tinggi dan terdapat 50 baki sampel saringan yang menunggu  keputusan. 

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melaksanakan 1,979 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 672 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya