MAIS dibenar jadi pencelah dalam kes Sisters In Islam - Utusan Malaysia

MAIS dibenar jadi pencelah dalam kes Sisters In Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) beroleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk menjadi pencelah dalam permohonan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar satu peruntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

Peruntukan yang dimaksudkan ialah Seksyen 66A yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar permohonan semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh badan itu atau mana-mana jawatan kuasa yang ditubuhkan dalam Enakmen Pentadbiran tersebut. 

Menurut peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili MAIS, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd. Yusof membenarkan permohonan itu selepas mendapati badan tersebut mempunyai kepentingan langsung dalam permohonan oleh SIS itu.

Ini kerana MAIS berperanan dalam memberi nasihat kepada Sultan Selangor berkaitan hal ehwal agama Islam negeri itu. Kerajaan negeri Selangor yang diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Nur Irmawatie Daud juga tidak membantah terhadap permohonan itu.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, MAIS turut diwakili peguam-peguam iaitu Mohd. Akmal Abu Bakar dan Nor Adzrie Mohd. Noor manakala peguam Fahri Azzat hadir bagi pihak SIS.

Zainul Rijal turut memberitahu Mahkamah Persekutuan turut menetapkan 3 Februari ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Pada 21 Januari 2020, SIS Forum memfailkan notis usul antara lainnya memohon deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah.

Pada 27 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS terhadap fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyatakan NGO itu sebagai sesat atas alasan hanya Mahkamah Syariah Selangor boleh menentukan tindakan undang-undang terhadap fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya turut menyatakan Seksyen 66A adalah ruang untuk memohon semakan kehakiman terhadap jawatan kuasa fatwa di Mahkamah Tinggi Syariah.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan Pengarah Eksekutif SIS Forum (Malaysia), Rozana Mohd. Isa, DUN Selangor tiada kuasa untuk menggubal Seksyen 66A kerana Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan ia menggubal undang-undang berkaitan Syariah ke atas orang yang menganut agama Islam.

Katanya, Seksyen 66A sebaliknya memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah Selangor ke atas jawantakuasa fatwa dan majlis agama, yang bukan merupakan “orang yang menganut agama Islam”.

SIS juga memohon deklarasi bahawa sub-definisi “orang Islam” dalam Seksyen 2 Enakmen 2003 – dalam sub-perenggan b,c d, dan f – dan frasa “dan termasuklah Majlis Agama Islam Selangor…” sebagai tidak sah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya