fbpx

17 Januari 2021, 10:41 pm

  TERKINI

Lelaki mandi di Teluk Batik ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di pantai Teluk Batik dekat sini awal pagi semalam, ditemukan mati lemas hari ini.

Mayat S. Sukamaran, 51, ditemui terapung oleh nelayan di perairan berhampiran sebuah jeti di Pulau Pangkor, kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang kira-kira pukul 2.20 petang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, mayat mangsa dibawa dengan bot pasukan itu ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka khusus untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di pantai Teluk Batik.

Katanya, sebelum itu pasukan tersebut menerima maklumat orang ramai mengenai mangsa yang mandi di pantai peranginan itu pada pukul 2.36 pagi semalam.

“Sebaik sahaja jentera bomba tiba di pantai itu pada pukul 2.46 pagi, didapati seorang mangsa yang belum diketahui bangsa dan umur telah lemas oleh saksi yang melihat mangsa meminta tolong di tengah laut.

“Kemudian polis menjumpai dompet dan juga telefon bimbit mangsa di darat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berikutan itu Ketua Operasi Bomba telah mengarahkan anggota membuat ronda di pesisir pantai setiap 20 minit dan PKB telah dibuka.

Beliau berkata, operasi bagaimanapun ditamatkan apabila menjelang malam semalam dan SAR diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian diperluas sehingga ke radius 1.5 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Selain pencarian menggunakan bot, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut melakukan beberapa operasi menyelam di lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Menurutnya, seramai 19 anggota bomba, 11 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), enam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta enam anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Marin (PGM) terlibat dalam operasi itu.

Beliau berkata, operasi tersebut yang diketuai Pegawai Bomba Shuib Idris ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.36 petang.- UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN