Lelaki dilapor hilang ditemukan mati dalam kolam takungan banjir - Utusan Malaysia

Lelaki dilapor hilang ditemukan mati dalam kolam takungan banjir

ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa lemas yang ditemukan dalam kolam takungan banjir di Taman Indah, Tanjung Rambutan, Ipoh semalam. - UTUSAN/GAMBAR IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ditemukan mati oleh pemancing dalam kolam takungan banjir di Sungai Pinji, Taman Indah dekat Tanjung Rambutan di sini semalam.

Mayat Daniel Lau Khai Wen, 25, ditemukan lelaki berusia 27 tahun itu ketika dia mahu memancing di lokasi berkenaan pada pukul 6 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat lelaki terbabit telah dibuat pengecaman oleh bapanya sendiri di lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan awal oleh pihak bomba mengesyaki mangsa meninggal dunia sejak dua hari lalu.

“Siasatan mendapati, keluarga mangsa sebelum ini telah membuat laporan polis mengenai kehilangan lelaki itu di Balai Polis Tambun.

“Pihak keluarga memaklumkan yang mangsa seorang pendiam dan bukan seorang yang menceritakan masalah dihadapinya kepada sesiapa.

“Bagaimanapun adik mangsa memberitahu yang abangnya itu sedih dan marah kerana bertengkar dengan ibu mereka selain menyatakan mahu keluar rumah dan tidak mahu tinggal bersama keluarga,” katanya.

Menurut A. Asmadi, mayat mangsa yang dibawa naik ke tebing oleh pasukan bomba dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk tindakan lanjut.

“Mayat lelaki terbabit akan menjalani prosedur Covid-19 dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya