Kilang pembuatan, jual cat disita buang sisa kumbahan dalam tandas - Utusan Malaysia

Kilang pembuatan, jual cat disita buang sisa kumbahan dalam tandas

TONG cat yang terdapat di kilang pembuatan dan menjual cat di Taman Industri Nautical, Rawang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Walaupun terdapat beberapa individu dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan melakukan pencemaran, namun tindakan itu dilihat tidak memberi kesan kerana masih terdapat pemilik premis yang membuang sisa kumbahan ke dalam loji.

Terbaharu, sebuah kilang pembuatan dan menjual cat di Taman Industri Nautical di sini telah disita berikutan disyaki membuang sisa kumbahan ke dalam loji Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).

Kilang yang beroperasi sejak awal tahun ini didapati melupuskan sisa cat dengan membuangkannya menerusi lubang kumbahan premis tersebut.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd. Fazil Ismail berkata, pihaknya telah melakukan serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini selepas menerima aduan IWK.

Menurutnya, aduan diterima mengatakan terdapat air berwarna merah pekat dibuang melalui pembetung awam dipercayai bahan kimia hingga stesen pam ditutup sementara oleh IWK.

“Perbuatan itu dikesan apabila sisa cat ini mengalir sehingga loji rawatan kumbahan (LRK) IWK di Taman Industri Nautical. Siasatan mendapati terdapat lebih 20 tong berisi bahan mentah dipercayai untuk membuat campuran cat dengan pembuangan sisa yang baharu.

“Malah kesemua tong ini diterima daripada industri sekitar negeri ini. Premis ini telah dijadikan pusat pelupusan sisa industri dengan cara tidak sah yang membuangnya menerusi tandas dan longkang dalam premis sehingga mengalir LRK IWK itu seterusnya ke Sungai Gong,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Difahamkan, jarak antara lokasi premis itu sehingga LRK berkenaan adalah kira-kira 500 meter.

Dalam pada itu katanya, siasatan awal mendapati premis tersebut mempunyai lesen sementara dan beroperasi sejak awal tahun ini bagi memproses, membuat, menjual cat dengan produk dihasilkan untuk pasaran tempatan.

“Buat masa ini, lesen sementara untuk operasi premis ini telah ditarik balik. Pembuangan sisa ini sekiranya dibiarkan boleh menyebabkan pencemaran di sungai sehingga menyebabkan henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

“Kita tidak menolak kemungkinan pelupusan ini adalah sabotaj terhadap sumber air di Selangor yang akan memberikan impak kepada gangguan bekalan air tidak berjadual,” jelasnya.

Tambahnya, ketika serbuan, pemilik premis berusia 50-an turut ada dan mengaku semua kesalahan dilakukan dan akan mengambil tindakan selaras kehendak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Ini termasuk mengambil tindakan mengepam keluar semua air sisa daripada kebuk kumbahan, longkang awam serta aliran di sungai.

“MPS juga telah mengenakan kompaun Seksyen 11 dan Notis Seksyen 12 Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPS 2007). Kompaun turut diberikan mengikut Seksyen 80, Akta Jalan Parit dan Bangunan (1974) iaitu mendirikan bangsal tanpa kebenaran.

“Kilang berkenaan juga telah disita dan disiasat mengikut Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655),,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya