IPOH: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak diminta mengemukakan bukti secepat mungkin bagi menafikan dakwaan tanah rizab Melayu di negeri ini berpindah milik kepada bukan Melayu.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, beliau berharap PTG Perak dapat memberikan bukti-bukti tanah rizab Melayu seluas 641.6 hektar tidak dipindah milik kepada bukan Melayu seperti yang beliau dakwa.
Malah Hamidah mendedahkan, beliau pernah cuba mendapatkan penjelasan mengenai dakwaannya itu daripada PTG sebelum ini namun penjelasan yang diberikan tidak memuaskan.
“Saya telah berjumpa dengan Pengarah PTG Perak pada awal Oktober lalu untuk meminta penjelasan.
“Jika benar PTG Perak ada bukti tanah rizab Melayu yang saya maksudkan tidak berpindah milik kepada bukan Melayu, pada masa itu saya sudah ditunjukkan buktinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, pada awal bulan lalu, beliau sekali lagi meminta penjelasan mengenai perkara itu kepada PTG selain surat secara rasmi juga dikeluarkan oleh peguamnya untuk mengetahui status tanah tersebut.
“Bagaimanapun, jawapan daripada pihak PTG sangat mengecewakan kerana mendakwa ia dibuat mengikut undang-undang sedangkan jelas ia adalah sebaliknya,” katanya.
Menurutnya, walaupun pun sukar untuk PTG mengemukakan bukti, namun beliau tetap memberi peluang untuk PTG memberikan penjelasan.
“Saya harap PTG dapat memberikan bukti yang dimaksudkan secepat mungkin,” katanya.
Hamidah mendakwa seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di Perak didakwa telah dipindah milik kepada bukan Melayu akibat penyelewengan sindiket yang didakwa didalangi oleh pegawai kerajaan.
Sindiket itu dikatakan menyasarkan tanah di Sitiawan yang digazetkan sebagai tanah rizab Melayu pada 1990.
Malah Putra Perak pernah membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat sama ada berlaku sebarang salah laku terhadap pemberi milikan lot-lot tanah rizab Melayu ini.
Semalam, Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pihaknya akan mengemukakan bukti dan fakta-fakta dalam bagi menjawab dakwaan Hamidah.
Sambil menyifatkan dakwaan itu tidak benar, Mohamad Fariz berkata, pihaknya akan membuat penjelasan lanjut mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat. – UTUSAN










