Kain rentang Zahid letak jawatan: UMNO Seremban nafi terlibat - Utusan Malaysia

Kain rentang Zahid letak jawatan: UMNO Seremban nafi terlibat

KAIN rentang yang mendesak Ahmah Zahid meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dijumpai tergantung pada pukul 10 pagi tadi di pagar di Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat, Seremban
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: UMNO Bahagian Seremban menafikan terlibat dengan pemasangan kain rentang yang mempunyai tulisan mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan seperti dijumpai tergantung di Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat, dekat sini hari ini.

Ketuanya, Mustafa Salim berkata, perbuatan itu disifatkan sebagai tidak beretika dan merupakan provokasi pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan kepemimpinan UMNO di peringkat bahagian dan Pusat.

“UMNO Bahagian Seremban berpendirian tegas menjunjung dan mendukung Perlembagaan UMNO dan institusi Presiden dan mempertahankannya.

UMNO Bahagian Seremban tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak khususnya daripada parti lawan yang cuba memporak perandakan kelangsungan perjuangan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambahnya, susulan kejadian tersebut, satu laporan polis telah dibuat dan UMNO Bahagian Seremban meminta pihak berkuasa menyiasat dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, pihaknya menafikan terlibat dalam pemasangan kain rentang tersebut walaupun beliau sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mendesak supaya Ahmad Zahid mengundurkan diri sebagai Presiden UMNO.

Menyifatkan perbuatan pihak berkenaan sebagai tidak bijak, beliau yakin perbuatan tersebut dilakukan ‘musuh politik’ yang hanya mahu melaga-lagakan hubungan dalam kalangan ahli UMNO.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya jika ada dakwaan mengatakan Pemuda UMNO Seremban memasang kain rentang berkenaan. Kami tidak akan “baling batu sembunyi tangan”, jika kami tidak suka kami suarakan dan bercakap berdepan.

“Perbuatan ini hanya berunsur provokasi dan dilakukan pihak yang sengaja mengambil kesempatan memburukkan imej Pemuda UMNO dan juga Ketua UMNO Bahagian Seremban. Ini adalah perbuatan musuh politik yang sengaja mahu melaga-lagakan ahli UMNO,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.