Johor banjir pada tahun baharu 2021 - Utusan Malaysia

Johor banjir pada tahun baharu 2021

ANTARA penduduk Kampung Laut, Batu 10, Skudai yang dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Tirai tahun baharu 2021 di negeri ini agak suram apabila hujan lebat sejak awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir.

Keadaan itu bertambah buruk selepas air pasang besar turun melanda negeri ini sehingga menyebabkan air naik sehingga paras pinggang.

Ketua Kampung Pasir, Skudai, Azmi Bismi berkata, kejadian banjir kali ini merupakan kali ketiga dalam masa dua bulan.

“Kali pertama berlaku pada 22 November 2020 dan keesokkan harinya banjir lagi akibat hujan lebat dan air pasang besar.

“Walaupun berlaku banjir tetapi penduduk tidak berpindah ke mana-mana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebab air naik sekejap sahaja dalam dua tiga jam sahaja.

“Mereka (penduduk) pindah ke kawasan lebih tinggi sebelum pulang ke rumah masing-masing selepas air surut,”katanya ketika ditemui di sini semalam.

Azmi menasihatkan penduduk supaya meletakkan dokumen penting dan barang berharga ditempat yang selamat supaya tidak rosak atau dihanyutkan air.

Sementara itu,  seramai 26 mangsa daripada tujuh buah keluarga dipindahkan selepas kediaman mereka di Kampung Laut, Batu 10, Skudai di sini turut dinaiki air.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 12.37 tengah hari.

Menurut beliau, seramai 11 anggota beserta dua buah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati beberapa kediaman telah dinaiki air setinggi dua kaki dan paras air masih terus meningkat.

“Sehubungan itu seramai 26 mangsa telah diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Tambahnya, mangsa yang dipindahkan termasuklah dua warga emas, empat kanak-kanak dan seorang bayi.

Operasi menyelamat itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 3.30 petang.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya