Institusi Presiden UMNO wajar disantuni - Utusan Malaysia

Institusi Presiden UMNO wajar disantuni

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Institusi Presiden UMNO wajar disantuni dan desakan pengunduran pemimpin tertinggi parti Melayu itu menerusi penggunaan sepanduk dengan kata kurang sopan dilihat bertentangan dengan ada budaya orang Melayu dan Islam.

Menyifatkan ia sebagai budaya tidak sihat dalam parti, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada masalah untuk perbezaan pandangan, namun, jangan ia membawa sengketa sesama ahli.

“Pelbagai kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista dan kurang sopan digunakan dalam desakan tersebut. Ini bukan budaya dan nilai UMNO, malah, ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu.

“Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Presiden yang wajar disantuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya. Kita boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana UMNO itu nilainya demokratik, tetapi, janganlah sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah belahkan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad, jika berlaku perpecahan dalam kalangan ahli UMNO, ia memberi peluang kepada lawan untuk meretakkan UMNO dengan sebesar-besar keretakan dan perpecahan.

“Pepatah Melayu berpesan, “menurut biar berakal, menentang biar beradab”. 

Saya menyeru untuk semua kita kembali kepada kesatuan dalam UMNO dengan saling mendamaikan antara satu sama lain.

“Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setiakawan dalam UMNO diadu domba, sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain.

Tiada siapa yang akan untung atas perpecahan UMNO dan tiada siapa juga yang akan menang, sama lebur sama binasa,” katanya.

Tambah Mohamad, apa yang dikhuatirinya, jika perkara tersebut berterusan yang akan menjadi korban ialah UMNO dan bangsa Melayu.

“Untuk kesekian kalinya saya titipkan hikmah Melayu yang berbunyi, “antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang”

“Saya menyeru kita semua bangunkan era baharu untuk UMNO dengan kesatuan dan muafakat. “Serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk”,” katanya.

Jelasnya lagi, era baharu yang dimaksudkan itu ialah era di mana perbezaan diuruskan dengan sopan, berhikmah dan melalui jalan yang di sepakati. 

“Era di mana parti diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan demokrasi sebagai keutamaan dalam semua yang utama. 

“Akhirnya, era di mana UMNO dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya