Insken bantu usahawan bangkit semula - Utusan Malaysia

Insken bantu usahawan bangkit semula

ANTARA peserta yang menyertai program E-Board yang telah dianjurkan pada tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) akan sentiasa tampil ke hadapan untuk membantu usahawan bangkit semula dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19 khususnya dalam program bimbingan Online Onboarding Coaching Programme (E-Board).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, E-Board merupakan latihan dan bimbingan yang terbaik bagi mempersiapkan usahawan menghadapi kebiasaan baharu selepas pandemik tersebut.

Katanya, ia sangat penting untuk membantu kesemua golongan usahawan termasuk kategori mikro mahupun informal bersedia ke arah ekonomi digital.

“Namun begitu, usaha ini bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan golongan tidak mahir dengan penggunaan teknologi dan perniagaan secara dalam talian.

“Usahawan kategori itu bukan sahaja perlu diberi latihan malah harus dibimbing secara holistik dan dipantau bagi memastikan skala serta kemahiran perniagaan dapat ditingkatkan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran yang bakal mendatang,” katanya dalam majlis graduasi E-Board Kohort 1 secara dalam talian semalam.

Sejak bermulanya Kohort 1 program itu pada Julai tahun lalu, pemilik pusat pembangunan ilmu, Teratak Ilmu, Puan Widad Fitriah berjaya melonjakkan jualan tertinggi pada Oktober lepas iaitu sebanyak 525 peratus dalam tempoh tiga bulan bimbingan dijalankan. Di akhir program itu, beliau masih mengekalkan pencapaian tertinggi iaitu 507.17 peratus.

Wan Junaidi berkata, lebih banyak proses ‘hand holding’ seperti program E-Board itu perlu dilaksanakan.

Dalam pada itu pemilik SFI Niaga, Shamsol Fahimy yang merupakan usahawan pembekal perabot pejabat dan sekolah berkata, beliau hilang punca pendapatan empat bulan berturut-turut ketika bermulanya pandemik Covid-19.

Namun, selepas menyertai program E-Board, hasil jualan mula dicipta dan meningkat setiap bulan dengan hanya menggunakan platform WhatsApp.

Di akhir program, beliau mencatatkan 463.04 peratus peningkatan jualan keseluruhan.

Beliau juga merupakan peserta alumni Bumiputera Business Enhancement Programme (BBEP) dan sering mengikuti pelbagai program latihan keusahawanan anjuran Insken.

Tambah pemilik Hyzu Florist, Hyzurahidayu Haizam pula, bimbingan yang diberikan setiap bulan dapat memastikan beliau berada di dalam landasan yang betul.

Selain itu, penggunaan bahasa serta sesi bimbingan berkonsepkan tidak terlalu formal membuatkan beliau mudah memahami ilmu yang dicurahkan dan terus dapat dipraktikkan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, majlis graduasi itu bukanlah penamat bagi perjalanan seorang usahawan.

Malah beliau membuka peluang kepada usahawan untuk terus menyertai program anjuran Insken kerana seorang usahawan berjaya tidak akan pernah berhenti menuntut ilmu untuk diaplikasikan dalam perniagaannya.

Kohort kedua program itu sedang dijalankan dan 250 usahawan dilatih untuk meningkatkan hasil jualan melalui platform secara dalam talian manakala Kohort ketiga telah dibuka untuk pendaftaran.

Maklumat lanjut mengenai program latihan keusahawanan anjuran Insken boleh didapati melalui laman web www.insken.gov.my. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya