JERANTUT: Sebuah helikopter untuk misi bantuan banjir ke Tembeling Tengah semalam terpaksa berpatah balik kerana hujan lebat dan angin kencang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, cuaca berkabus dan hujan berterusan menyebabkan misi bantuan terpaksa ditangguhkan.
Menurutnya, perkampungan di Tembeling Tengah membabitkan Kampung Labu, Kampung Chebong, Kampung Padang dan Kampung Merting yang terputus hubungan berikutan air Sungai Pahang meningkat ke paras berbahaya sejak kelmarin.
“Kita berharap laluan darat dapat dilalui untuk menghantar bekalan makanan ke pusat penempatan sementara ( PPS) yang telah ditentukan.
“Buat sementara, misi penghantaran bekalan makanan ke perkampungan kawasan Tembeling Tengah dan beberapa perkampungan lain akan menggunakan lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Nazri berkata, pihaknya bersimpati dengan kesulitan penduduk yang tertunggu-tunggu bantuan tetapi faktor keselamatan petugas perlu turut diambil kira.
Jelasnya, misi bantuan ke PPS di beberapa perkampungan di Tembeling akan tetap diteruskan dengan apa cara sekalipun.
Tegasnya, sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) , APM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diharap menjayakan misi menyampaikan bantuan makanan kepada golongan sasaran.
“Mangsa banjir di PPS berkenaan diharap memahami kekangan pihak berkuasa untuk sampai ke lokasi seperti jalan terputus dan helikopter tidak dapat terbang misi kerana cuaca buruk,” katanya. – UTUSAN










