Empat projek pembangunan APM Terengganu sehingga 2022 - Utusan Malaysia

Empat projek pembangunan APM Terengganu sehingga 2022

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bakal melaksanakan empat projek pembangunan dalam tempoh dua tahun ini sehingga 2022 bagi melipatgandakan kecekapan dan kesiapsiagaan anggota serta pegawainya.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, antara projek itu ialah pembangunan pulau angkat di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bagi dijadikan sebagai pusat latihan luar buat warga APM negeri ini.

Katanya, peruntukan berjumlah kira-kira RM2 juta telah dipohon kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi membangunkan fasiliti berkaitan di lokasi yang terletak bersebelahan Pulau Herba itu. 

“Di samping itu, kita juga akan mewujudkan pusat latihan penyelamat pantai di Pantai Pandak, Chendering di sini diikuti pusat latihan air dan skuba di Pulau Bidong dan pejabat baharu APM di Pulau Redang.

“Kesemua projek pembangunan yang dicadangkan dalam tempoh dua tahun itu bakal melestarikan lagi program kesiapsiagaan membabitkan pegawai dan anggota APM Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sepetang Bersama Media di pejabat APM negeri di sini semalam.

Menurut Che Adam, kewujudan kesemua fasiliti berkenaan secara tidak langsung membolehkan pasukannya melalui proses latihan secara lebih bersistematik dalam menghadapi apa jua situasi kecemasan mahu pun bencana.

Dalam pada itu, katanya, khidmat pasukan penyelamat pantai APM dijangka beroperasi semula pada awal Mac depan selepas fasa Monson Timur Laut berakhir.

“Kita akan memasuki fasa akhir musim tengkujuh pada bulan depan dan selepas itu penugasan pasukan penyelamat akan bermula kembali dengan tumpuan di pantai-pantai utama seperti di Pantai Bukit Keluang di Besut, Pantai Pulau Kekabu dan Pantai Pandak di daerah ini di samping Pulau Redang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya