Diskaun 50 peratus pelancongan jika PKPB - Utusan Malaysia

Diskaun 50 peratus pelancongan jika PKPB

MINI Malaysia; ASEAN Cultural Park menutup operasi sementara sepanjang PKP di Ayer Keroh. -UTUSAN/ AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Promosi pelancongan sehingga 50 peratus kepada 664 produk di negeri ini boleh dilaksanakan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan tamat pada 4 Februari ini disambung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Saari Basiron berkata, tawaran kepada penduduk negeri itu bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan rentas negeri.

“Apabila pelancong luar tidak boleh masuk ke Melaka, saya amat berharap peranan penduduk untuk membantu menghidupkan kembali sektor pelancongan di sini, mereka boleh mengunjungi 664 produk pelancongan yang sedia ada.

“Bagi tujuan mengalakkan penduduk melancong di negeri sendiri, BPP menawarkan potongan diskaun sebanyak 50 peratus bagi 18 lokasi pelancongan utama untuk dilawati antaranya 

seperti sembilan muzium, Melaka River Cruise, Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park serta Zoo Melaka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang memberi jaminan PKP akan tamat 4 Februari ini dan tidak akan disambung bagi mengelak kesan buruk terhadap sektor ekonomi di negara ini.

Saari berkata, sebanyak 55 hotel dari lima hingga tiga bintang juga akan menawarkan potongan 50 peratus kepada penduduk di negeri ini untuk membawa keluarga menginap.

Menurutnya, antara lokasi pelancongan yang menawarkan potongan sebanyak 50 peratus adalah Bukit Batu Lebah Ecopark, Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), Monorail, Air Panas Jasin, Taman Tema Air Bayou Lagoon dan Taman Tema Air Asahan.

“Ini antara usaha BPP membantu pemain industri yang terjejas teruk sepanjang PKP sejak 13 Januari lalu dan kita mengharapkan kunjungan penduduk untuk menyelamatkan sektor pelancongan dengan diskaun yang diberikan,” ujarnya.

Beliau menegaskan promosi pakej ‘Melakan Visit Melaka 2020’ yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, awal November dan berakhir Disember lalu susulan pelaksanaan PKPB sedikit sebanyak membantu melonjakkan sektor pelancongan.

Menurutnya, lima produk pelancongan yang mendapat kunjungan telah membuktikan kempen yang dijalankan untuk mengalakkan penduduk melancong di negeri sendiri membuahkan hasil serta dapat meringankan beban pemain industri.

Katanya, sembilan muzium dan dua galeri di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) mencatat kunjungan paling ramai dalam kalangan penduduk di negeri ini dengan 22,117 pengunjung dikuti Zoo Melaka (9,612), MIBC (6,298), Melaka River Cruise (1,898) dan Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park (1,199). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya