fbpx

28 Oktober 2021, 7:36 pm

  TERKINI

Bermula modal RM30, Siti Aminah kini usahawan tart nanas berjaya

PROSES menghasilkan tart nanas kini hanya dilakukan Siti Aminah Othman bersama suaminya, Muhammad Firdaus Zanil di rumah mereka di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan baru-baru ini. – FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Bermula dengan modal RM30 tiga tahun lalu, kini Siti A­minah Othman, 33, dari Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, Gemencheh dekat sini dianggap usahawan tart nanas yang berjaya apabila hasil jualannya semakin mendapat sambutan.

Menurutnya, semuanya bermula apabila suaminya, Muhammad Firdaus Zanil, 33, teringin menikmati tart nanas pada Ramadan tahun 2018 dan kerana mahu berjimat dia nekad untuk mempelajari membuat tart nanas tersebut menerusi resipi yang diperoleh daripada internet.

Siti Aminah yang sebelum itu hanya berniaga di pasar malam memberitahu, dia pada awalnya meminjam ketuhar daripada ka­kaknya untuk membuat kuih berkenaan dan telah mengolah resipi sebanyak tiga kali sebelum hasilnya benar-benar menepati cita rasa.

“Saya tidak menyangka kuih tart yang saya buat untuk juadah pada Hari Raya Aidilfitri tiga tahun lalu menjadi kegemaran adik-beradik, keluarga, rakan dan jiran. Saya kemudian memberanikan diri untuk mencuba menjual tart nanas sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Bermodal RM30, saya boleh hasilkan tiga balang kuih, semua­nya terjual dan saya pusing keuntungan yang diperoleh itu untuk menghasilkan lebih banyak lagi tart nanas. Lama kelamaan, saya mampu membeli ketuhar sendiri apabila tart nanas yang dijual mula mendapat permintaan ramai dan mampu dijual sebanyak 56 ba­lang,” katanya kepada Utusan Malaysia dekat sini baru-baru ini.

SITI Aminah Othman menunjukkan tart nanas yang baharu sahaja siap dibentuk sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar. – FOTO/NOR AINNA HAMZAH

Siti Aminah berkata, sejak da­ripada itu hampir setiap hari dia menerima permintaan daripada orang ramai yang mahu tart nanas yang dihasilkannya malah dia juga semakin berminat untuk bergelar usahawan berasaskan nanas apabila diberi peluang sebagai usahawan bimbingan Jabatan Pertanian pada penghujung tahun 2018.

“Ada yang kata saya merosakkan ‘mood’ hari raya bila buat tart nanas hari-hari namun saya anggap kata-kata berkenaan sebagai pendorong semangat buat saya dan suami untuk lebih gigih lagi mengubah taraf hidup.

“Pada Hari Raya Aidilfitri tahun berikutnya saya berjaya menjual kira-kira 400 balang tart nanas dan jumlah berkenaan meningkat pada tahun lepas iaitu sebanyak 600 balang. Semasa Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac tahun lalu, saya mampu menjual sekurang-kurangya 20 balang tart nanas dan tart coklat Cadburry setiap hari,” katanya.

Tambah Siti Aminah, dia tidak mahu menoleh kebelakang lagi dalam perniagaan tart nanas dan baru-baru ini, dia telah menerima Geran Agropreneur Muda bernilai RM20,000 dalam bentuk peralatan melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) malah telah mempunyai seramai 15 ejen di sekitar negeri ini, Melaka, Johor dan juga Kuala Lumpur bagi menjual produk makanannya itu.

“Majoriti ejen saya adalah terdiri daripada suri rumah namun ada juga yang bekerja sebagai penjawat awam dan swasta yang mahu menambahkan pendapatan. Kuih saya ini juga banyak yang dijual di kios-kios yang terletak di pasar raya besar.

“Buat masa ini kalau jualan harian hanya saya dan suami sahaja yang menghasilkannya kuih tart nanas ini di rumah sementara bengkel sedia ada sedang dinaik taraf oleh pihak Jabatan Pertanian. Namun bagi menampung permintaan sempena sambutan perayaan atau permintaan melebihi 30 balang memang khidmat pekerja diperlukan yang terdiri daripada ibu tunggal ataupun pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI