Bangkai kapal 'timbul' di Sungai Lipis selepas banjir

Bangkai kapal ‘timbul’ di Sungai Lipis selepas banjir

BANGKAI kapal dipercayai berusia ratusan tahun ditemukan terdampar di tepi Sungai Lipis berhampiran Kampung Pagar Lama di Penjom, Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Banjir besar yang melanda daerah ini meninggalkan persoalan apabila bangkai sebuah kapal ditemukan terdampar di tepi Sungai Lipis berhampiran Kampung Pagar lama di Penjom, di sini.

Bangkai kapal yang dikatakan dibina sekitar tahun 1800-an itu hanya ditemukan seminggu selepas banjir surut kerana dilitupi sampah tebal.

Bagaimanapun kapal yang dilihat pelbagai pihak sebagai artifak berharga itu telah dikerat dan di­leraikan oleh sekumpulan lelaki.

Penghulu Penjom, Azhar Ismail berkata, penemuan kapal itu di kawasan tebing sungai kampung lama yang telah di­tinggalkan kerana sering berlaku banjir itu mengejutkan penduduk setempat dan me­nimbulkan pelbagai persoalan da­lam kalangan mereka. 

Beliau memberitahu, terdapat satu tembaga yang tertulis Vivian & Son dan kapal ber­kenaan dipaku dengan paku tembaga.

TEMBAGA yang tertulis Vivian & Son dan kapal ber­kenaan dipaku dengan paku tembaga.

“Penemuan berkenaan me­ngejutkan penduduk apatah lagi dengan keadaan kayu kapal berkenaan masih tidak reput malah masih kuat diskru de­ngan tembaga dalam tempoh ratusan tahun dalam sungai.

“Kejadian ini menunjukkan bahawa banjir yang berlaku baru-baru ini amat besar dengan air yang begitu deras di dasar sungai sehingga mengangkat bangkai kapal ke tebing sungai,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azhar, apa yang lebih bernilai ialah penemuan tersebut mengungkap pelbagai persoalan daripada segi sejarah dan geografi yang sering diperkatakan penduduk mengenai daerah Lipis.

Justeru katanya, pihak terbabit perlu segera melakukan kajian ‘kisah’ kapal berkenaan sekali gus merungkai pelbagai persoalan.

“Ramai orang-orang lama menyatakan bahawa terdapat pelabuhan Sungai di Sungai Penjom tempat kapal masuk apatah lagi di Penjom ada lombong emas.

“Ada juga yang mempersoalkan bahawa pada masa dahulu daerah yang rendah seperti Temerloh dan Maran tiada lagi kerana berada di dalam air sebaliknya Lipis merupakan tanah tinggi,” katanya.

Terkini, difahamkan sisa kapal berkenaan kini hanya tinggal bahagian lantai dan diletakkan di bawah jagaan pihak polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati terdapat beberapa komponen pada badan kapal tersebut telah tiada dipercayai diambil sekumpulan penduduk kampung.

Beliau memberitahu, adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana individu yang mengambil atau merosakkan sesuatu warisan kebudayaan yang boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya