Bahagia kongsi hidup bersama jejaka Orang Asli - Utusan Malaysia

Bahagia kongsi hidup bersama jejaka Orang Asli

NUR Amalina Ismail dan Mohd. Fardhu Angah bersama tiga anak bahagia menjalani kehidupan sederhana di Kampung Plug, Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan. Wartawan/Jurugambar: AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hidup tanpa bekalan elektrik, menggunakan air tandak dan ubi kayu sebagai makanan harian.

Rutin tersebut kini sudah sebati dalam jiwa Nur Amalina Ismail, 29, yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu selepas dia mengahwini seorang pemuda dari suku kaum Orang Asli, tujuh tahun lalu.

Selepas berkahwin, wanita itu nekad mengikut suami menetap di Kampung Plug, Pos Tuel, dekat sini yang merupakan sebuah kawasan pedalaman dan hidup dalam serba kekurangan.

Nur Amalina seorang Penggerak Masyarakat Orang Asli Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertemu jodoh dengan Mohd. Fardhu Angah, 31, yang merupakan Daie Orang Asli Yayasan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Yadim).

Menurut Nur Amalina, kehidupan mereka bertambah bahagia apabila dikurniakan tiga anak berumur dua, lima serta tujuh tahun dengan seorang lagi kini dalam kandungan dan dijangka lahir bulan depan.

Katanya, dia berkenalan dengan Mohd. Fardhu ketika bertugas sebagai sukarelawan bagi Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kok Lanas, Kota Bharu pada 2012.

“Selepas kami berkahwin, saya dengan rela hati ingin menetap di kampung halaman suami dan lama kelamaan, menjadi semakin sebati dengan cara hidup, adat tradisi dan makanan Orang Asli.

“Saya tidak menyesal meninggalkan kehidupan dengan kemudahan serba sempurna di Kota Bharu demi bersama suami di samping menabur bakti mengembangkan syiar Islam di kampung itu,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fardhu pula berkata, dia bersyukur apabila dikurniakan isteri yang sanggup menerima diri serta keluarganya yang serba kekurangan.

“Saya berterima kasih kepada isteri kerana memahami keadaan di kampung kami dan tidak pernah merungut.

“Antara makanan biasa di kampung kami termasuklah sayur yang dimasak dengan mi segera, tapi syukurlah, dia boleh terima masakan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.