494 penduduk Kampung Batu 6 disaring mulai esok - Utusan Malaysia

494 penduduk Kampung Batu 6 disaring mulai esok

WAN Azharuddin Wan Ismail bertanya kepada Abas Bah Kecil ketika meninjau pelaksanaan PKPD di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang di Tapah hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seramai 494 penduduk di Kampung Batu 6, Jalan Pahang di sini yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan menjalani ujian saringan Covid-19 bermula esok.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ujian saringan itu membabitkan 245 penduduk dari 72 keluarga di Batu 6 ‘bawah’ dan 73 keluarga dengan 249 penduduk di Batu 6 ‘atas’.

Katanya, ujian saringan itu dilakukan secara berperingkat oleh Kementerian Kesihatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD sehingga 3 Februari ini.

“Bermula esok, pihak kementerian akan memulakan ujian saringan ke atas penduduk dan kita minta agar mereka patuh dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Sehingga semalam, mengikut data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, seramai 12 penduduk telah disahkan positif Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama pelaksanaan PKPD di Batu 6, Jalan Pahang di sini hari ini.

Menurut Wan Azharuddin, penugasan PKPD di kampung tersebut berdepan cabaran dari segi kawalan ekoran keadaan bentuk muka buminya yang berbukit dan di kelilingi hutan.

Katanya, tiga laluan tikus telah dikenal pasti dan kawalan akan dilakukan di kawasan berkenaan selain melihat keperluan memasang kawad duri.

“Kampung ini melibatkan kawasan seluas 3.2 kilometer persegi dengan kawasan berbukit dan laluan tikus yang dikhuatiri menjadi laluan keluar penduduk.

“Kita telah kenal pasti beberapa kawasan dan akan kawal laluan berkenaan. Dua pos kawalan akan didirikan di dua pintu masuk ke kampung tersebut bagi memantau pergerakan penduduk,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk, Abas Bah Kecil, 57, berkata, dia dan empat ahli keluarga lain termasuk isteri dan tiga anak tidak menunjukkan sebarang gejala dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga bersedia untuk menjalani ujian saringan bagi memastikan berada dalam keadaan baik.

“Kami ikut sahaja apa yang baik. Lagipun dari segi kebajikan dijaga di mana Jakoa datang memberi barang keperluan makanan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang di sini diletakkan di bawah PKPD mulai hari ini hingga 3 Februari ini.

Beliau berkata langkah itu dibuat selepas pihak berkuasa mengesan 12 kes positif Covid-19 di kampung berkenaan selain 87 kontak rapat sedang dikuarantin ketika ini.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengawal pergerakan penduduk serta memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan bersasar Covid-19 di lokaliti itu yang melibatkan 494 penduduk,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya