2 mengaku salah, 2 minta dibicara dakwaan provokasi terhadap polis - Utusan Malaysia

2 mengaku salah, 2 minta dibicara dakwaan provokasi terhadap polis

SERAMAI tujuh lelaki dihadapkan ke mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan melakukan provokasi dan melanggar perintah PKP dalam kejadian di Tanjong Tokong, Pulau Pinang Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Dua mengaku bersalah manakala dua lagi minta dibicarakan atas pertuduhan menghalang penjawat awam melakukan tugas dalam insiden kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, Tanjung Tokong, di sini Ahad lalu.

Tertuduh, Shahrizal Anuar, 38, dan Mohd. Safwan Akbar, 29, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown, di sini hari ini ketika pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan.

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh, Mohd. Hafiz Nasri Shah, 28, dan Mohd. Danial Al Arabia Mohd. Rafi, 24, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan sama.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membuat provokasi terhadap tiga anggota polis 17 Januari lalu pada pukul 5.40 petang di simpang lampu isyarat Jalan Tanjong Tokong, di sini.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman terhadap Shahrizal dan Mohd. Safwan manakala 25 Februari depan ditetapkan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap Mohd. Hafiz dan Mohd. Danial Al Arabia.

Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap keempat-empat tertuduh.

Sementara itu, di hadapan majistret sama, keempat-empat mereka serta tiga yang lain iaitu Azizul Mohamad, 45; Mohd. Idris Ayob, 25, dan Danish Ikmal Mohd. Shafiq Samugam, 20, mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman serta jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap semua tertuduh.

Kes dikendalikan Pendakwa Raya, Asisten Komisioner Siti Hajar Jaafar manakala hanya Danish Ikmal diwakili peguam, Mohd. Rafiee Noordin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seramai tujuh lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden sekumpulan individu disyaki mengepung dan menghalang tugas polis semasa kemalangan membabitkan dua lelaki di Tanjong Tokong di sini kira-kira pukul 5.30 petang Ahad lalu.

Insiden itu tular dalam media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk ada yang menuduh anggota polis sengaja menendang motosikal terbabit sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.

Polis bagaimanapun menafikan penglibatan anggota berkenaan dan memaklumkan dua lelaki terbabit melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat itu ketika melarikan diri daripada anggota polis. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya