PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan kewujudan akaun sosial palsu menerusi Facebook.
Ia susulan penemuan akaun atas nama kononnya milik Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Seri Mohamad Mentek yang menggunakan nama dan gambar beliau sendiri.
“Laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia berhubung perkara itu juga telah dibuat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Pautan akaun palsu itu ujarnya ialah https://www.facebook.com/mohammad.binmentek1 manakala pautan akaun sebenar ialah https://www.facebook.com/mohammad.binmentek.
Kementerian tersebut jelasnya, sentiasa berusaha menangani penyebaran berita palsu dan akaun palsu secara berterusan bagi memastikan kepentingan awam kekal terpelihara.
“Justeru jadilah pengguna media sosial yang bijak dan prihatin dengan membuat semakan serta pengesahan daripada sumber rasmi,” tambah kenyataan berkenaan lagi.-UTUSAN ONLINE










